Dira Abu Zahar calon ke-126 MT Umno - Berita Hiburan | mStar

Dira Abu Zahar calon ke-126 MT Umno

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2018 1:18 PM

Dira Abu Zahar mengesahkan dia bakal bertanding jawatan calon Ahli Majlis Tertinggi Umno. Foto Instagram @diraabuzahar

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon yang juga Exco Puteri Umno, Dira Abu Zahar pada Khamis mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang akan berlangsung pada 30 Jun ini.

Dira atau Khaidhirah Abu Zahar menerusi Instagram memaklumkan dia menawarkan diri untuk bersaing secara sihat dan keputusan bertanding dibuat atas dasar kasih sayang dan cintakan Umno demi menebus maruah serta menjulang semula martabat parti itu yang tercalar.

"Terima kasih kepada pucuk pimpinan Umno kerana memberi anak muda seperti saya peluang untuk terus berjuang bersama parti kesayangan Melayu ini.

"Saya menawar diri untuk bersaing secara sihat atas rasa kasih sayang dan cintakan Umno untuk sama-sama menggalas amanah bagi menebus maruah dan menjulang semula martabat Umno yang tercalar.

"Dengan No 126, saya adalah calon bongsu yang diselit pada saat-saat akhir selepas melalui halangan teknikal yang telah diperbetulkan," katanya.

Dira mahu menjadi suara golongan muda.

Sebelum ini, Dira pernah disebut-sebut akan bertanding di kerusi Puteri Umno, bagaimanapun dia menyangkal dakwaan itu.

Dalam pada itu, Dira berkata, dia berhasrat untuk memastikan proses peremajaan Umno dapat dijayakan sekiranya diberi peluang menggalas tanggunjawab tersebut.

Katanya lagi, dia yakin dapat membawa suara anak muda khususnya golongan wanita muda dan profesional yang semakin lantang menyuarakan pendapat mereka.

"Saya konsisten dalam perjuangan ini dengan semangat berani berubah, yakni bukan kerana pangkat dan kedudukan, tetapi kerana agama, bangsa dan negara yang amat kita cintai ini!

"Saya dengan rendah diri dan penuh rasa bertanggungjawab ingin memohon sokongan dan dorongan dari senior- senior Umno untuk memberi peluang kepada wanita muda untuk berada di dalam kepimpinan tertinggi Umno mainstream ini," ujarnya.

Tambahnya, dia percaya pintu Umno sentiasa terbuka untuk menerima perubahan demi kebaikan dan survival bagi masa depan rakyat.

Tags / Kata Kunci: Dira Abu Zahar , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan