“11 tahun bersama... Terasa sangat” - Ezlynn - Berita Hiburan | mStar

“11 tahun bersama... Terasa sangat” - Ezlynn

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2018 6:20 AM

Ezlynn mengakui kehidupannya banyak berubah selepas bercerai dengan bekas suaminya pada Oktober tahun lalu.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Ezlynn memberitahu episod hitam dalam hidupnya masih meninggalkan kesan walaupun dia sudah bercerai dengan bekas suami, Adam Fahmy pada Oktober tahun lalu.

Ezlynn berkata, sebagai seorang manusia biasa adalah tidak mungkin baginya melupakan semua memori begitu saja yang dikongsi sepanjang 11 tahun bersama Adam.

"Saya sudah meneruskan kehidupan, jangan salah faham... Cuma apabila anda sudah mengenali bekas pasangan selama 11 tahun dan tiba-tiba semuanya berubah, memang terasa sangat.

"Bukan mudah untuk melupakan begitu sahaja semua memori sepanjang tempoh itu namun pada masa yang sama inilah yang terbaik buat kami berdua," katanya.

Ezlynn bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.

Ezlynn atau Azline Ariffin, 36, dan Adam berkahwin pada 21 November 2011 tanpa tidak dikurniakan cahaya mata.

Dalam pada itu, Ezlynn berkata, perceraian itu telah banyak mengajarnya untuk menyayangi dan menghargai dirinya terlebih dahulu berbanding orang lain.

Kata Ezlynn, dia kini lebih selesa bersendirian kerana dapat memfokuskan seratus peratus terhadap dirinya.

"Sebelum ini saya lebih banyak fikir tentang orang daripada diri sendiri malah semua keputusan saya tidak buat sendiri.

Adam dan Ezlynn bercerai pada Oktober tahun lalu selepas hanya enam tahun mendirikan rumah tangga.

"Tetapi itu semua dahulu, kini saya tahu bagaimana untuk mengutamakan diri sendiri dan berkata tidak untuk perkara yang saya tidak suka," katanya.

Atas semangat baharu itu juga, Ezlynn berkata, dia bakal muncul dnegan single terbaharu tidak lama lagi yang mengetengahkan mesej memperkasakan wanita.

"Lagu itu dihasilkan bukan untuk bersedih tentang apa yang berlaku tetapi membawa mesej untuk terus ke hadapan dan bersikap positif.

"Ia juga mengangkat mesej memperkasakan wanita dan tak mahulah lagu jiwang layan perasaan," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Ezlynn
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan