Ada kisah di sebalik baju raya Akim Ahmad - Berita Hiburan | mStar

Ada kisah di sebalik baju raya Akim Ahmad

Diterbitkan: Sabtu, 16 Jun 2018 3:15 PM

Akim dan Stacy bersama dua anak mereka pada hari raya pertama. Foto Instagram @akimahmad

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Akim Ahmad memuji kegigihan isterinya, Stacy yang pertama kali menjahit baju raya mereka sekeluarga untuk digayakan pada hari raya pertama.

Akim atau Afiq Akim berkata, biarpun baju raya tersebut mempunyai kekurangan namun ia akan menjadi nostalgia buatnya pada masa hadapan.

“Inilah baju yang dijahit oleh isteri tercinta, sebuah tugasan yang diselesaikan isteri saya. Betapa tekunnya dia menjahit walaupun tak pernah pun jahit baju kurung dan baju Melayu.

“Walaupun ada kekurangan, ia memori untuk kami berdua kenang tetapi kekurangan itulah yang buat aku terima kau wahai isteriku.

“Ketekunan kau itulah yang membuatkan aku memilihmu. Bukan baju yang sempurna yang aku mahukan, yang aku mahu adalah kau dan keluarga kecil kita,” kata Akim.

Akim kagum dengan kesungguhan Stacy menjahit sendiri baju raya mereka sekeluarga.

Akim memuat naik foto bersama isteri dan dua orang anaknya yang memakai baju raya bertemakan warna merah di Instagramnya.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Akim & The Majistret ni mendoakan agar Stacy sentiasa menjadi isteri yang patuh padanya.

“Semoga engkau menjadi isteri yang sentiasa patuh pada suamimu. Dan aku berdoa semoga Allah sentiasa memberikan kurnia padamu wahai isteri,” ujarnya.

Akim, 27, berkahwin dengan Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 28, di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari 2016.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Eshaal yang kini berusia setahun dan mereka turut mempunyai anak angkat, Bella, 6 tahun.

Tags / Kata Kunci: Akim Ahmad , Stacy
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan