Zara Zya dituduh pura-pura cintai Hafreez Adam untuk tutup gosip - Berita Hiburan | mStar

Zara Zya dituduh pura-pura cintai Hafreez Adam untuk tutup gosip

Diterbitkan: Ahad, 3 Jun 2018 5:37 AM

Zara mengakui berkawan dengan pengurusnya dan mereka bekerja bersama. Foto Instagram: @zarazya.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Zara Zya menafikan hubungan cintanya dengan Hafreez Adam hanya untuk menutup gosip kononnya dia mempunyai hubungan intim dengan pengurus sendiri yang merupakan seorang wanita.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 33, berkata hubungan akrab dia dengan pengurus tersebut atas dasar kerja semata-mata.

"Segelintir kita ni kalau nampak orang tu berdua, tak kisah jantina apa tetap akan cakap mesti ada sesuatu antara mereka.

"Nak-nak zaman sekarang ini golongan pasangan sejenis lebih terbuka. Jadi, mereka yang melihat suka membuat spekulasi sendiri.

"Saya berani jawab, saya memang berkawan dengan pengurus saya sebab kami pun bekerja bersama dan takde istilah kami ada hubungan," katanya kepada mStar Online.


Zara nafi mempunyai hubungan dengan pengurusnya, (hadapan).

Zara ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama syarikat rakaman Life Records Malaysia di Hotel Royal, di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, ada gosip mengatakan pelakon drama bersiri Mona Lisa itu menjalinkan hubungan terlarang.

Tambah Zara lagi, kemungkinan gosip itu timbul disebabkan sebelum ini dia tidak mempunyai kekasih.

Menurutnya, ada lelaki yang ingin mengenalinya namun disebabkan kesibukan kerja dia tidak mempunyai masa untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

"Mungkin sebelum ini orang kata saya bercinta dengan pengurus sendiri sebab saya tak ada kekasih.

Zara kini bercinta dengan Hafreez Adam.

"Saya seorang yang suka bekerja sampai tak ada had masa. Kalau cuti pun hanya sebab demam. Bulan Ramadan ni pun saya tak ada cuti, tak sempat berbuka dengan keluarga.

"Macam mana nak ada hubungan cinta. Sebelum ini ada saja orang nak kenal tapi tak lama. Sama ada saya atau dia sibuk dan kemudian mendiamkan diri," ujarnya.

Zara kini lebih terbuka berkongsi mengenai hubungan cintanya dengan Hafreez yang sudah terjalin sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Tiada Dendam ini tampil dengan koleksi baju dan seluar jeans jenamanya sendiri.

Koleksi tersebut merupakan kolaborasi bersama dengan syarikat rakamannya, Life Records Malaysia.

Antara baju dibawah jenama Zara iaitu Zya Clothing.

"Alhamdulillah, selama ini peminat tanya saya selalu pakai pakaian jenama apa. Kali ini, saya lancarkan koleksi pakaian jenama saya sendiri.

"Saya rasa, tak ada artis lagi yang ada koleksi seluar jeans. Kebetulan, syarikat rakaman saya tawarkan untuk bekerjasama.

"Kini, peminat sudah boleh membeli koleksi pakaian saya yang dijual menerusi laman sosial saya," kata Zara.

Koleksi baju dan seluar jeans jenama Zya Clothing dijual dengan harga mampu milik iaitu bawah RM100.

Tags / Kata Kunci: Zara Zya , Hafreez Adam
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan