Penonton luar negara belajar bahasa Malaysia melalui 'Boboiboy' - Berita Hiburan | mStar

Penonton luar negara belajar bahasa Malaysia melalui 'Boboiboy'

Diterbitkan: Sabtu, 2 Jun 2018 5:00 AM

Pelancaran komik edisi istimewa Lawak Kampus X Boboiboy Galaxy:Superior.

(Ubah saiz teks)

ANIMASI Boboiboy bukan sahaja mencetuskan fenomena di negara ini, malah ia turut menerima respons positif kanak-kanak dari luar negara.

Ketua Pegawai Kandungan Khas, Animonsta Studios iaitu Anas Abdul Aziz berkata, kartun animasi popular itu berjaya mencuri perhatian kanak-kanak di 60 buah negara selepas ia ditayangkan sejak tahun lalu.

Malah, kanak-kanak luar negara kini cuba mempelajari bahasa Malaysia menerusi watak animasi tersebut.

"Boboiboy tidak ada kelab peminat tetapi kami wujudkan kumpulan komuniti di laman Facebook yang terdiri daripada bukan saja peminat tempatan malah peminat dari luar negara sebab Boboiboy juga ditayangkan di 60 buah negara seluruh Asia Tenggara seperti Vietnam, Filipina, Indonesia juga India.

"Setiap kali tayangan untuk di negara lain, memang disertakan sekali dengan sarikata Bahasa Inggeris.

"Kami lihat ramai juga di kalangan mereka yang cuba belajar bahasa Melayu sebab nak cuba cakap bahasa Melayu apabila mereka berbual dan bercerita mengenai Boboiboy di Facebook," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pra-pelancaran komik edisi istimewa Lawak Kampus X Boboiboy Galaxy:Superior, bertempat di Atria Shopping Gallery, Damnasara Jaya, pada baru-baru ini.

Antara barisan tenaga kerja di sebalik penghasilan komik Lawak Kampus X Boboiboy.

Komik Lawak Kampus X Boboiboy Galaxy:Superior menggabungkan idea artis komik terkenal Keith Chong bersama 10 artis komik berbakat Kadokawa Gempak Starz yang turut bekerjasama dengan tiga orang artis komik dan dua orang penulis dari Animonsta bagi menghasilkan komik edisi istimewa ini.

Dalam edisi istimewa ini, sebanyak 1,000 naskhah bakal diterbitkan mengikut pesanan awal peminat. 

Mereka yang memesan awal boleh mendapatkan komik ini bermula 31 Ogos depan.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif, Animonsta Studio, Nizam Razak berkata, memandangkan pihak mereka sentiasa memantau kandungan selain mengambil kira komen respons daripada ibu bapa terhadap rancangan itu.

"Kami sentiasa mengikut garis panduan dan mengambil kira setiap maklum balas dan komen daripada ibu bapa. Dalam siri-siri Boboiboy tidak ada babak bercinta sebaliknya menerapkan mesej mengenai persahabatan dan info pengetahuan seperti pengetahuan sains.

"Selain itu, kami menjaga dari segi penggunaan bahasa pertuturan cuma perkataan seperti "aku" dan "kau" memang tidak dapat dielakkan kerana itu percakapan biasa yang digunakan kanak-kanak bersama kawan sebaya mereka.

"Tetapi untuk dialog dengan orang dewasa misalnya perbualan antara Boboiboy dan Tok Abah, menggunakan perkataan saya sebagai kata ganti diri," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Boboiboy
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan