Riz Amin akui dunia glamor penuh godaan - Berita Hiburan | mStar

Riz Amin akui dunia glamor penuh godaan

Diterbitkan: Khamis, 31 Mei 2018 4:58 AM

Riz Amin tidak menafikan dunia hiburan penuh dengan dugaan dan godaan. Foto SHAARI CHE MAT

(Ubah saiz teks)

SEJAK kebelakangan ini dunia hiburan sering dikejutkan dengan isu dan kontroversi melibatkan selebriti tempatan termasuk hal berkaitan penyalahgunaan dadah, isu moral, perceraian mahu pun penyebaran video tidak senonoh di laman sosial.

Bagi pelakon Riz Amin, dia tidak menafikan dunia glamor sebenarnya penuh dengan dugaan dan godaan sehingga menyebabkan ada segelintir daripada artis terjebak.

Bagaimanapun kata Riz, adalah tidak adil golongan selebriti terus diberi pelbagai persepsi negatif kerana permasalahan itu turut berlaku dalam kalangan masyarakat biasa.

"Masalah tersebut adalah perkara biasa yang turut dialami oleh ramai orang tetapi fokus itu lebih kepada artis kerana kita selebriti.

Riz sendiri pernah berhadapan dengan pelbagai dugaan dan godaan bidang seni.

"Dugaan dan godaan itu memang ada tetapi perkara ini terletak pada diri sendiri sama ada hendak ikut atau pun sebaliknya," katanya.

Riz atau Norizam Amin Nordin, 33, berkata, dia sendiri pernah berhadapan dengan pelbagai dugaan dan godaan sepanjang hampir 14 tahun bergelar anak seni.

Kata Riz, walaupun langkahnya pernah tersasar namun dia sentiasa mengingatkan diri kepada ibu bapa serta isteri dan anaknya sebelum melakukan sesuatu.

"Kalau dah terlibat dalam sesuatu kontroversi saya selalu terfikir apa akan jadi kepada keluarga. Mesti mereka berasa malu dan tak mampu berjumpa masyarakat.

"Alhamdulillah setakat ini saya tidak pernah lagi terpalit dengan sebarang kontroversi dan minta dielakkan," ujarnya.

Riz dan isteri, Sharifah Fazlina.

Malah kata Riz, perkahwinan dengan Sharifah Fazlina pada 2013 membuatkan dia lebih fokus kepada tujuan hidupnya terutamanya selepas kehadiran anak mereka, Puteri Natalia Eryna, 4 tahun.

"Apabila sudah berkahwin, fikiran tu tidak lagi ke arah hendak seronok, melepak dengan kawan-kawan sahaja tetapi ingin meningkatkan taraf diri dan bekerja keras untuk keluarga," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Riz berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 selain drama bersiri Bila Tuhan Berbisik Cinta untuk siaran TV3.

Selain itu, dia juga sibuk menguruskan perniagaannya, Riz Amin Catering Services dan Hanara Ann Balloon iaitu bisnes pengurusan acara dan dekorasi.

Tags / Kata Kunci: Riz Amin , Polis Evo
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan