Fattah minta maaf, aksi mesra kerana lama tak jumpa Fazura - Berita Hiburan | mStar

Fattah minta maaf, aksi mesra kerana lama tak jumpa Fazura

Diterbitkan: Ahad, 27 Mei 2018 5:10 AM

Fattah Amin menjelaskan dia dan isteri, Nur Fazura tidak menyedari aksi mereka dirakam oleh kenalan mereka.

(Ubah saiz teks)

PELAKON sensasi, Fattah Amin menjelaskan dia tidak menyedari aksi romantisnya bersama isteri, Nur Fazura dirakam oleh seorang kenalan mereka yang dimuat naik ke laman sosial menyebabkan mereka dikritik hebat netizen.

Jelas Fattah, tuduhan mereka tidak menghormati bulan Ramadan kerana beraksi mesra adalah di luar kawalannya namun dia meminta maaf jika ia menyinggung perasaan mana-mana pihak.

"Sebenarnya saya dan Fazura memang tak perasan aksi kami dirakam oleh seorang kenalan sebelum dia memuat naik ke laman sosial.

"Apabila perkara itu tular dan kami dituduh tidak menghormati bulan Ramadan ia sebenarnya di luar kawalan saya.

Aksi mesra pasangan romantik ini tidak disenangi netizen.

"Perkara pun sudah terjadi dan di kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada peminat dan sesiapa yang tersinggung dengan video berkenaan dan berharap ia tidak akan berulang lagi," katanya kepada mStar Online.

Fattah ditemui pada majlis berbuka puas bersama Fattah Amin anjuran tilam jenama King Koil yang diadakan pada Jumaat lalu.

Menjelaskan situasi sebenar, Fattah berkata, dia sudah beberapa hari tidak bertemu isterinya itu kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sebagai selebriti.

Kata Fattah, mereka bertemu di sebuah restoran untuk berbuka puasa dan dia teruja bertemu isterinya itu kerana rindu.

"Saya dan Fazura dah lama tak jumpa jadi apabila kami bertemu di tempat awam kami teruja.

Pasangan ini akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Sebagai suami-isteri, salam cium tangan itu biasa dan saya pun ada mencium dahinya dan memeluk isteri saya untuk menghilangkan rasa rindu," jelasnya.

Sementara itu, Fattah berkata, insiden itu akan diambil sebagai pengajaran dan akan lebih berhati-hati selepas ini.

"Apabila ada rakan-rakan memuat naik video kami ia bukan bererti mereka berniat tidak baik tetapi selepas ini saya akan minta mereka berhati-hati.

"Sekurang-kurangnya bertanya terlebih dahulu tentang video yang ingin dimuat naik agar tidak timbul lagi salah faham seperti ini," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Fattah Amin , Nur Fazura
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan