Dikritik baju Melayu 'menyusu anak', Erry Putra cari kelainan - Berita Hiburan | mStar

Dikritik baju Melayu 'menyusu anak', Erry Putra cari kelainan

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mei 2018 1:02 PM

Koleksi baju Melayu milik pelakon Ery Putra iaitu Qurta Saputra tular di laman sosial apabila ada menyamakan pakaian itu sebagai baju menyusu badan. Foto Instagram @aerrysaputra

(Ubah saiz teks)

TINDAKAN pelakon Erry Putra yang tampil kelainan menerusi koleksi baju Melayu bersempena Aidilfitri nampaknya mengundang padah apabila ia mendapat kritikan netizen.

Koleksi yang diberi nama Qurta Saputra itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila ramai menyifatkan rekaannya sebagai mengarut.

Ini kerana rekaan baju berkenaan yang mempunyai belahan di bahagian depan dan boleh diselak disamakan dengan baju untuk menyusukan anak.

"Baju Melayu for breastfeeding fathers," tulis seorang pengguna Twitter menggunakan nama @AzlilAdzif mengenai baju berkenaan.

Twit tersebut yang dimuat naik sejak dua hari lalu sehingga kini telah pun mendapat 10,000 ulang kicau.

Ery turut berkongsi mengenai koleksi baju Melayu keluarannya di Instagram yang tular di media sosial.

Sementara itu, Erry menerusi Instagramnya menganggap kritikan terhadap koleksi Qurta Saputra itu adalah ujian buatnya.

Jelasnya, rekaan ditampilkan adalah semata-mata untuk mencari kelainan pada hari raya tahun ini dan menganggap ia perkara biasa apabila ada tidak menyukainya.

"Haha, kena viral pasal baju Saputra. Tidak mengapa, itu hanya sedikit ujian. Saja nak cari kelainan dalam baju raya tahun ini.

"Biasalah ada suka ada yang tidak... Yang mana suka syukur, yang mana tak suka Alhamdulillah," tulisnya.

Tambah Erry, meskipun dikecam namun jualan koleksi tersebut semakin laris setakat ini.

Ery memberitahu jualan baju keluarannya itu laris.

"Apa pun jualan kini dah makin banyak dan stok pun banyak dah habis. Amin," katanya.

Dalam perkembangan sama, Erry ketika ditemui pada sebuah majlis berbuka puasa baru-baru ini menjelaskan rekaan baju Melayu itu sebenarnya mempunyai maksud di sebalik.

Jelasnya, ia menggabungkan tiga elemen masyarakat Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

"Asas baju itu daripada elemen kurta yang terkenal dalam masyarakat India manakala bahagian kolar inspirasi daripada samfoo iaitu pakaian tradisional kaum Cina.

"Manakala elemen Melayu itu terletak pada bahagian dalam baju yang masih mengekalkan konsep tradisional baju Melayu," jelasnya.

Ia juga menggunakan kain bermutu tinggi agar si pemakai berasa selesa sepanjang lebaran.

Tags / Kata Kunci: Ery Putra , Qurta Saputra
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan