Siti Nurhaliza sedia bantu kerajaan PH kongsi idea - Berita Hiburan | mStar

Siti Nurhaliza sedia bantu kerajaan PH kongsi idea

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2018 4:32 AM

Siti Nurhaliza

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza bersedia jika diperlukan untuk membantu kerajaan dalam membangunkan industri seni tanah air.

Bagaimanapun, Siti, 39, berkata dia tidak mahu terikat dengan sebarang jawatan tertentu yang memerlukan komitmen.

"Saya bersedia untuk membantu atau jika diminta untuk memberi idea atau sebagai penasihat untuk industri seni.

"Tapi tidak mahu yang terikat dengan mana-mana komitmen berkaitan kerja," ujarnya kepada mStar Online pada malam Rabu.

Penyanyi lagu Comel Pipi Merah ini ditemui pada majlis berbuka puasa Shopee yang diadakan di Hotel Hyatt, Kuala Lumpur.

Isteri ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu berkata, dia mengharapkan kerajaan baharu bawah Pakatan Harapan ini lebih memberi perhatian terhadap golongan seni.

Siti bersama rakan-rakan artis yang turut terlibat dengan Shopee.

Katanya, sebuah badan atau pusat perlu ditubuhkan bagi menjaga kebajikan artis yang berhadapan dengan masalah.

"Kita nak artis dinilai dan diberi perhatian. Kalau boleh ada satu pusat sehenti atau badan yang benar-benar menjaga kebajikan artis. Kita tidak mahu terlalu banyak sehingga tidak tahu mana yang patut dituju.

"Ia betul-betul profesional dan boleh dibuat rujukan," ujarnya.

Selain itu, Siti turut mencadangkan sebuah bangunan khas untuk pengiat seni bebas berkarya.

Tambahnya, bangunan itu juga boleh dijadikan tempat untuk pelancongan.

"Kalau boleh sebuah bangunan khas untuk anak seni bukan sahaja pelakon dan penyanyi tapi juga semua jenis seni termasuk pelukis.

"Ia sebagai tempat berkumpul dan boleh menjadi tempat tarikan pelancong," ujarnya.

Siti Nurhaliza diketahui mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah beliau merupakan satu-satunya artis yang diikuti oleh Mahathir di laman sosial Instagramnya.

Tags / Kata Kunci: Siti Nurhaliza
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan