Ramadan waktu sesuai untuk berehat - Shuib - Berita Hiburan | mStar

Ramadan waktu sesuai untuk berehat - Shuib

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2018 4:44 AM

Shuib memilih bulan Ramadan untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Foto: HAZIM FAUZI.

(Ubah saiz teks)

PELAWAK Shuib memilih untuk berehat dan tidak bekerja sepanjang bulan Ramadan kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga selepas penat bekerja.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 33, memberitahu Ramadan merupakan waktu yang sesuai untuk merapatkan silaturahim.

"Saya rasa, dalam masa setahun itu 11 bulan kita dah bekerja. Jadi bulan Ramadan ini sangat sesuai untuk kita berehat.

"Memang saya sengaja memilih untuk berehat sahaja sepanjang sebulan ini dan meluangkan masa bersama keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Sarah, Shuib tinggalkan anak demi kekasih

Shuib bersama ibu dan isterinya menunaikan umrah pada 14 Mei lalu.

"Saya dan Sarah adalah peminat bazar. Bulan puasa ini memang kami akan selalu pergi walaupun dia masak untuk juadah berbuka," kata Shuib kepada mStar Online baru-baru ini sebelum berangkat ke Tanah Suci, Makkah bagi menunaikan umrah.

Shuib dan isterinya, Siti Sarah berlepas pada 14 Mei lalu akan pulang ke Malaysia Ahad ini.

Dalam pada itu, ahli kumpulan lawak Sepahtu ini akan memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan produk madu.

"Balik sahaja menunaikan umrah, saya nak beri tumpuan 90 peratus pada perniagaan produk madu.

"Lagi 10 peratus saya akan fokus pada industri seni. Tapi buat masa sekarang ini memang saya nak utamakan perniagaan terlebih dahulu," katanya.

Shuib seronok dapat berkongsi rezeki dengan orang lain.

Menurut Shuib, dia tidak terlalu memikirkan soal wang namun keseronokan dirasai apabila dapat berkongsi rezeki berniaga dengan orang lain.

"Alhamduillah, saya dah jalankan perniagaan madu ini selama lima bulan dan sangat seronok.

"Saya rasa seronok itu sebab dapat kongsi rezeki dengan orang lain. Bukan sebab saya dapat duit. Selain saya dapat mewujudkan ramai stokis mendapat pendapatan yang banyak setiap bulan," katanya.

Sebelum ini, Shuib membuat pengumuman tidak lagi bertugas sebagai penyampai radio Sinar FM pada 29 November tahun lalu bagi memberi tumpuan pada perniagaan madunya.

Tags / Kata Kunci: Shuib , Siti Sarah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan