Penantian 10 tahun Asfan Shah terbayar - Berita Hiburan | mStar

Penantian 10 tahun Asfan Shah terbayar

Diterbitkan: Isnin, 21 Mei 2018 5:00 AM

Penantian 10 tahun Asfan Shah akhirnya terbayar.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI dan komposer Asfan Shah menyifatkan kemenangannya pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018(DFKL2018) menerusi kategori Lagu Tema Pilihan sebagai penantian yang akhirnya terbayar.

Malah kata pemilik nama sebenar Norasfan Shah Shah Rudin, 33, ini berkata, kemenangan itu cukup manis kerana ia adalah trofi pertamanya sepanjang 10 tahun penglibatan dalam bidang seni.

"Ini pertama kali saya dapat anugerah sepanjang menceburkan diri dalam bidang seni dan sudah tentu ia saat manis dalam hidup saya.

"Ia seperti penantian yang akhirnya terbayar atas segala usaha dan penat lelah selama ini membuahkan hasil," ujarnya.

Menerusi kategori itu, lagu ciptaannya bersama Fedtri Yahya berjudul Sumpah Cintaku yang juga lagu tema drama bersiri Titian Cinta mengalahkan calon lain.

Asfan memegang trofi kemenangannya.

Bagaimanapun Asfan berkata, dia tidak pernah mengharapkan sebarang kemenangan atau pengiktirafan terhadap karyanya.

"Dapat anugerah itu satu bonus tetapi saya sendiri tak pernah meletakkan sebarang sasaran apabila menghasilkan sesebuah lagu.

"Jika itu adalah tujuan saya maka ia sudah lari daripada sasaran sebenar saya menceburi dalam bidang ini," katanya.

Dalam pada itu, Asfan berkata, dia semakin selesa bekerjasama dengan Fedtri Yahya yang disifatkan sebagai penulis lirik berbakat besar.

Malah katanya, Festri banyak membantunya dalam proses penghasilan sesebuah lagu dan mereka sekali lagi bekerjasama dalam single terbaharunya, Fatamorgana Cinta.

Tags / Kata Kunci: Asfan Shah , DFKL2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan