Buka puasa bersama Rabbani dalam gua - Berita Hiburan | mStar

Buka puasa bersama Rabbani dalam gua

Diterbitkan: Rabu, 25 April 2018 6:00 AM

Azadan (dua dari kanan) bersama anggota kumpulan Rabbani. FOTO: Faihan Ghani

(Ubah saiz teks)

SETIAP kali tiba bulan Ramadan nama kumpulan Rabbani tidak asing lagi dalam mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat.

Sebelum ini selama 21 tahun Rabbani mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana di Petaling Jaya sehingga hotel itu ditutup untuk tujuan pembangunan pada 2012.

Bagaimanapun kehadiran Ramadan tahun ini, mereka menampilkan kelainan apabila meneruskan tradisi itu dengan memilih gua sebagai lokasi berbuka puasa.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 45, berkata, D’Gua Alkahfi yang terletak di Taman Industri Bolton, Batu Caves dilihat menarik dan sesuai dijadikan lokasi berbuka puasa.

“Setiap tahun, dua bulan sebelum Ramadan kami dah fikir tentang lokasi untuk mengadakan bufet Ramadan dan ingin membuat kelainan.

“Kebetulan kami mendapat tahu tempat ini daripada seorang kenalan dan selepas beberapa kali datang ke sini kami rasakan ini lokasi yang sesuai dan laim daripada lain.

Kumpulan Rabbani.

“Kita ingin beri pengalaman baru kepada peminat yang ingin berbuka puasa dalam gua selain bersolat jemaah Maghrib,” katanya.

Azadan bersama ahli Rabbani yang lain ditemui pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama Rabbani yang diadakan di D’Gua Alkahfi pada Selasa.

Aktiviti berbuka puasa itu nanti bakal memperlihatkan Rabbani menghiburkan peminat sebelum dan selepas berbuka puasa menerusi selawat, zikir dan nasyid.

Ia bakal berlangsung dari 3 Ramadan sehingga 27 Ramadan depan.

Dalam pada itu, Azadan berkata, selain berbuka dalam gua, mereka juga turut menyediakan dewan berhawa dingin dan terbuka kepada pelanggan.

Menariknya lebih 30 hidangan berasaskan sunah ala kampung turut disediakan pada tetamu yang hadir nanti.

“Berbuka puasa dalam gua itu lebih kepada makan ringan seperti kurma, buah-buahan, kuih muih dan hidangan utama disediakan di dewan utama.

Rasailah pengalaman berbuka puasa di dalam gua bersama Rabbani.

“Sebenarnya makanan sunah ini bukan sekadar kurma tetapi ia ada di sekeliling kita seperti labu, bawang putih, halia, serai dan sebagainya.

“Kebetulan ia banyak digunakan dalam masakan Melayu jadi sebab itu kita tampil dengan konsep hidangan sunah,” katanya.

Tambah Azadan lagi, sepanjang program berbuka puasa itu berlangsung, beberapa artis undangan akan turut memeriahkan suasana seperti Khai Bahar, Raihan, Hijjaz dan Ikhwan Fatana.

Pakej berbuka bersama Rabbani D’Gua Alkahfi dijual pada harga RM69 (dewasa) dan RM30 (kanak-kanak) manakala bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah percuma.

Bagi tempahan boleh menghubungi 011-3262 1042 atau 017-506 6119 atau melayari Facebook Rabbani@Group dan Instagram @Rabbani_Official.

Tags / Kata Kunci: Rabbani , Azadan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan