“Nanti orang pukul... jangan pergi!” Ibu meraung Azri (AF9) dipenjara cederakan anak tiri - Berita Hiburan | mStar

“Nanti orang pukul... jangan pergi!” Ibu meraung Azri (AF9) dipenjara cederakan anak tiri

Diterbitkan: Jumaat, 20 April 2018 2:20 PM

Azri mengaku bersalah mencederakan anak perempuan tirinya. Foto Instagram: @azri_af9.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-9, Azri dipenjara selama 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

Azri atau nama sebenarnya Mohammad Azri Abdullah dituduh mencelup kedua-dua tangan anak perempuan tirinya di dalam air panas sehingga dimasukkan ke wad selama 19 hari selepas mengalami kecederaan yang serius.

Hakim Norshila Datuk Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azri, 31, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kesnya pada Khamis.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula Jumaat dan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Azri dan isterinya Salma Mentor.

Sejurus selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, ibu Azri, isteri, anak-anak termasuk mangsa serta kakaknya yang berada di galeri awam terus meluru ke kandang tertuduh untuk memeluknya.

Manakala ibunya yang hampir pitam meraung-raung sambil menarik tertuduh sebelum ditenangkan anggota polis.

“Nanti orang pukul, nanti orang pukul dia. Jangan pergi! Jangan! Dia nak siapkan sekolah anak, dia mandikan anak, dia bagi anak makan! Orang tak tahu!,” jerit wanita itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Azri bersama isteri dan anak-anaknya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang ketika itu berumur sembilan tahun tidak mengaku mengambil coklat menyebabkan tertuduh mengambil sebuah periuk yang berisi air panas dan mencelup kedua-dua belah tangan anak tirinya itu.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, pada 8 pagi, 5 Mei 2016.

Azri dan Salma berkahwin pada 31 Jan 2015 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Salma juga mempunyai dua anak iaitu mangsa dan seorang anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu. -- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Azri Af9 , Salma Mentor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan