Lagu ‘Kawan Setia’, ‘Negaraku Tercinta’ nyanyian DJ Dave diiktiraf - Berita Hiburan | mStar

Lagu ‘Kawan Setia’, ‘Negaraku Tercinta’ nyanyian DJ Dave diiktiraf

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2018 5:42 PM

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Prof. Dr. Khairil Annas Jusoh (dua, kanan) bersama Pengerusi Yayasan Artis Malaysia Datuk DJ Dave (tiga, kiri) melancarkan Album Khas Nada Seni Ritma Negara 'Kawan Setia'.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lagu klasik nyanuian Datuk DJ Dave iaitu Kawan Setia dan Negaraku Tercinta diberi nafas baharu bagi mengiktiraf sumbangan penggiat seni kepada negara.

Album khas yang diberi nama Nada Seni Ritma Negara itu ialah cetusan idea Pejabat Penasihat Perdana Menteri sebagai mengenang penglibatan golongan artis menerusi program seperti Dialog Penggiat Seni TN50 dan beberapa program berkaitan sebelum ini.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memetik bait-bait lirik lagu popular DJ Dave iaitu Kawan Setia sewaktu Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 yang lalu.

Lirik lagu itu yang berkisar mengenai kesetiaan menjadi ilham utama untuk penghasilan album ini khususnya bagi memupuk nilai berkenaan dalam masyarakat.

DJ Dave atau nama sebenarnya, Irwan Shah Abdullah yang juga Pengerusi, Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) berkata, dia gembira kerana lagunya mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara.

"Lebih 40 tahun saya menyanyi, saya tak pernah minta apa-apa. Tapi saya menganggap ini sebagai pencapaian terbesar saya.

"Saya juga gembira kerana nilai yang ada dalam lagu saya dapat disampaikan kepada masyarakat menerusi album khas," ujar penyanyi berusia 70 tahun ini.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Prof. Dr. Khairil Annas Jusoh (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Seniwati Siti Aminah Ismail atau Mimi Loma (dua, kiri) selepas melancarkan Album Khas Nada Seni Ritma Negara 'Kawan Setia' hari ini. Turut hadir Pengerusi Yayasan Artis Malaysia Datuk DJ Dave (kanan). - Bernama

Album itu dilancarkan oleh Penasihat Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Prof. Dr Khairil Anas Jusoh, pada Rabu di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Khairil sewaktu ucapannya berkata, lagu berkenaan tidak berunsurkan politik sebaliknya mesej yang ingin disampaikan kena dengan seluruh anggota masyarakat.

"Perdana Menteri pun ada memetik seni kata lagu ini sewaktu PAU 2017, memang nilai kesetiaan ini sesuatu yang sangat penting.

"Sebenarnya, bidang seni dan aspek kepimpinan negara saling melengkapi dan memerlukan, maka terhasillah album ini," katanya.

Dalam pada itu, susunan muzik dua lagu dalam album khas itu dinyanyikan semula oleh DJ Dave sementara muziknya dimasukkan beberapa instrumen tambahan seperti piano, biola dan akordian.

Dalam majlis itu, semarai 25 artis veteran turut menerima sumbangan seperti Mimi Loma, Wan Maimunah, Norlia Ghani, Amran Tompel, Yazid Search.

Datuk M. Daud Kilau turut menerima sumbangan khas bagi membiayai operasi pembedahan berkaitan masalah kesihatannya.

Turut hadir, Presiden Seniman, Zed Zaidi, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Tags / Kata Kunci: DJ Dave
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan