“Teruskan, sebarkan lagi... sebar sebanyak mungkin” - Umie Aida - Berita Hiburan | mStar

“Teruskan, sebarkan lagi... sebar sebanyak mungkin” - Umie Aida

Diterbitkan: Selasa, 17 April 2018 6:00 AM

Umie Aida kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab memuat naik filem kontroversi Dukun ke Facebook.

(Ubah saiz teks)

PELAKON Datin Seri Umie Aida kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab memuat naik filem kontroversi Dukun ke Facebook walaupun ia masih lagi ditayangkan di pawagam.

Umie mempersoalkan tindakan tersebut dan apakah keseronokan yang mereka perolehi daripada perbuatan itu yang secara terang-terangan mampu membunuh industri filem tempatan.

Secara sinikal, Umie meminta agar pihak tidak bertanggungjawab ini agar meneruskan aktiviti menyebar filem itu jika itu kepuasan yang diperoleh mereka.

"Sejak dua tiga hari ini ramai buat 'party' filem Dukun di Facebook! Apakah keseronokan yang anda dapat dengan buat tayangan filem ini sedangkan Dukun masih ditayangkan di pawagam?

"Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau itu satu kepuasan cara anda menonton sebuah filem maka teruskan. Teruskan, sebarkan lagi... sebar sebanyak mungkin!

Umie mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab memuat naik filem Dukun secara haram di Facebook.

"Kongsi sebanyak mungkin... jual CD sebanyak mungkin... Enjoy rough cut and no ending! Terima kasih kerana membunuh industri filem," tulisnya.

Dukun diarahkan oleh Dain Said berada di pawagam sejak 5 April lalu selepas 12 tahun terperap ekoran diharamkan untuk ditayangkan.

Selain Umie yang memegang watak utama, Dukun turut membariskan pelakon seperti Faizal Hussien, Namron, Hasnol Rahmat, Elyana, Bront Palarae dan Adlin Aman Ramlie.

Setakat ini, Dukun sudah pun mendapat kutipan box-office sebanyak RM6.2 juta.

Barisan pelakon Dukun bersama pengarahnya, Dain Said (dua dari kanan).

Sebelum ini, Umie dalam posting berbeza di Instagram menyeru agar penonton dan peminat filem di negara ini memboikot cetak rompak.

Ini kerana kata Umie, pengguna yang memegang kuasa untuk menghapuskan cetak rompak sama ada dalam bentuk CD atau pun digital.

"Isu cetak rompak dah terlalu lama kita dengar dan terbaru Dukun yang baru seminggu di pawagam dah keluar cetak rompak.

"Tiada apa yang mampu saya minta kecuali kita semua sama-sama boikot cetak rompak. Kuasa untuk hapuskan cetak rompak hanya ada pada pengguna. Tolong hargai industri kami.

"Apa akan jadi pada filem-filem akan datang kalau perbuatan tidak bertanggunjawab ini masih berleluasa? Harap pihak berkuasa mengambil tindakan.

Tags / Kata Kunci: Umie Aida , Dukun
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan