“Doktor beri saya masa tiga tahun sahaja” - Sherry Alhadad - Berita Hiburan | mStar

“Doktor beri saya masa tiga tahun sahaja” - Sherry Alhadad

Diterbitkan: Ahad, 8 April 2018 12:22 PM

Sherry mengambil keputusan mengubah gaya hidupnya selepas doktor memberinya tempoh tiga tahun untuk menjaga kesihatan. Foto S.S.KANESAN

(Ubah saiz teks)

PENGACARA dan pelakon Sherry Alhadad memberitahu dia diberi tempoh selama tiga tahun oleh doktor untuk menjaga kesihatannya atau dia berhadapan dengan risiko pelbagai penyakit berbahaya.

Atas kesedaran itu, Sherry berkata, dia mula mengubah gaya hidupnya dan mula melakukan senaman sejak tiga bulan lalu dan berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 11 kilogram dalam tempoh itu.

“Sebelum ini saya ada buat pemeriksaan kesihatan dan doktor selalu cakap saya ada tiga tahun sahaja untuk jaga kesihatan.

“Bukan untuk mati... tapi untuk mengelak daripada sebarang penyakit. Alhamdulillah, saya dah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram dalam masa tiga bulan.

Semakin langsing... Sherry mendedahkan dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 11 kilogram dalam tempoh tiga bulan.

“Saya bersenam dan jaga permakanan ini pun bukan nak kurus semata-mata tapi untuk sentiasa sihat dan cergas,” kata Sherry kepada mStar Online.

Sherry ditemui ketika majlis beramah mesra bersama peminatnya di butik Asyikin Exclusive, Setapak Central Mall, di sini pada Sabtu.

Berat badan pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 34, sebelum ini 119 kilogram dan terkini hanya 108 kilogram.

Sherry menyasarkan untuk mengurangkan berat badannya dibawah 100 kilogram dalam tempoh dua bulan lagi.

Sherry kurus bukan kerana ingin kelihatan cantik tetapi menjaga kesihatannya.

Dalam pada itu, Sherry kata, proses peralihan yang dialaminya bukan mudah terutamanya terpaksa melupakan semua makanan kegemarannya.

Selain itu, pengacara program Drop The Beat ini turut memastikan dia meluangkan masa di pusat kecergasan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

“Selama tiga bulan ini saya memang menjaga permakanan. Setiap hari saya hanya makan set makanan sihat.

“Tapi saya tetapkan hari Ahad sebagai ‘cheat day’. Jadi, hari itu saya boleh makan apa sahaja yang teringin tetapi bukanlah secara melampau.

Sherry bertemu peminat di butik Asyikin Exclusive.

“Tambahan pula, saya ada pergi ke pusat kecergasan untuk bersenam dalam tiga kali seminggu. Saya akan pilih hari yang tak sibuk,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang kolaborasinya bersama Asyikin Exclusive, Sherry berkata, dia bakal tampil dengan koleksi baju raya untuk wanita berbadan gempal bersempena Aidilfitri tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, ini tahun kedua saya bekerjasama dengan Asyikin Exclusive. InsyaAllah kami akan keluarkan baju raya untuk wanita berbadan besar pula.

“Kami akan lancarkan beberapa rekaan sesuai dengan bentuk badan bersaiz besar dan paling penting harganya mampu milik," katanya.

Tags / Kata Kunci: Sherry Alhadad
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan