Hariz dapat RM25,000 juarai BRTM2018 dan menang vokal terbaik - Berita Hiburan | mStar

Hariz dapat RM25,000 juarai BRTM2018 dan menang vokal terbaik

Diterbitkan: Sabtu, 7 April 2018 11:57 PM

Hariz juara Bintang RTM 2018.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peserta kelahiran negeri Selangor iaitu Hariz diumumkan sebagai juara pertandingan akhir Bintang RTM 2018 (BRTM 2018) pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB di sini, Sabtu.

Dengan kemenangan tersebut, ia melayakkan Hariz, 24, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Selain kemenangan itu dia juga membawa pulang trofi vokal terbaik dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Pada peringkat akhir itu Hariz menyampaikan lagu ciptaan Manusia Putih berjudul Yang Terbaik menerusi segmen pertama dan lagu Fantasi dan Polaroid berduet bersama Mel Sakura.

Pemenang utama Bintang RTM 2018 iaitu Hafiz (dari kiri), Hariz dan Heidi.

Tempat kedua pula jatuh kepada Heidi yang memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.

Manakala Hafiz terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM10,000.

Hafiz turut diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Manakala tiga peserta lain iaitu Ferona, Anna dan Yasser turut menerima hadiah saguhati berupa wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang.

Dalam pada itu, Hariz ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka mendapat kemenangan itu memandangkan persaingan sengit daripada peserta lain.

Bagaimanapun dia menganggap kemenangan tersebut sebagai rezekinya dan berharap karier nyanyiannya akan terus berkembang selepas ini.

“Sejujurnya saya tidak langsung kerana semua peserta ada kelebihan masing-masing.

“Bagi saya segmen paling mencabar ketika menyanyikan lagu solo kerana ia lagu baru yang mana tidak pernah dengar dan saya perlu menghayati agar orang lain juga dapat apa yang saya sampaikan,” ujarnya.

Pada peringkat akhir itu, kesemua peserta BRTM 2018 diberikan tiga tugasan iaitu berduet dengan vokalis band terkenal, lagu baharu dan pusingan battle.

Enam juri profesional yang mengadili BRTM 2018 ialah Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Adibah Nor.

Penyanyi Misha Omar dan Aqasha bertindak sebagai pengacara.

Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Sufian Suhaimi, Datuk Awie dan Ella.

BRTM 2018 disiarkan secara tertunda menerusi TV2 pada pukul 10.30 malam.

Tags / Kata Kunci: Bintang RTM , BRTM2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan