“Saya Dah penat, Banyak Salah Faham Berlaku” - Syazwan Zulkifly - Berita Hiburan | mStar

“Saya Dah penat, Banyak Salah Faham Berlaku” - Syazwan Zulkifly

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2018 6:30 AM

Syazwan Zulkifly

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Syazwan Zulkifly memberitahu dia memilih untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan artis Mind Order bagi mengelakkan salah faham yang sering berlaku antara dia dan produksi.

Syazwan, 31, berkata, selama enam tahun dia mengakui agak sukar untuk berkomunikasi berkaitan perkara-perkara penting melibatkan kerjaya lakonannya.

"Saya dah penat enam tahun berkomunikasi dengan produksi membabitkan harga, jadual dan kerjaya agak sukar.

"Banyak salah faham yang berlaku yang akhirnya kesalahan-kesalahan itu hanya memburukkan nama saya sebagai pelakon," ujarnya kepada mStar Online.

Syazwan ditemui pada Bengkel DFKL 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Sabtu lalu.

Selain itu, pelakon filem Juvana itu memberitahu, tiada sistem yang baik membuatkan dia sering berhadapan dengan masalah produksi.

Syazwan elak salah faham dengan produksi.

"Baru-baru ini ada produksi nak saya berlakon dalam sebuah drama tapi kemudian senyap bila ditanya harga, lokasi dan lain-lain.

"Saya tidak berkira tentang harga tapi saya mesej tidak berjawab dan esoknya dia hubungi saya dan terus suruh masuk set penggambaran. Mereka fikir saya pelakon tambahan ke?

"Kemudian, saya dapat tahu nama saya sudah dijaja dan diburuk-burukkan dalam kalangan produksi lain," ujarnya.

Katanya, masalah-masalah yang berlaku itu kadang kala memberi tekanan kepadanya sebagai seorang pelakon.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan dirinya yang didakwa digam sebuah stesen televisyen, Syazwan berkata, ia masih sama dan tiada jalan penyelesaian.

"Masa heboh pasal kena gam itu saya ada dipanggil berlakon untuk satu episod drama untuk stesen televisyen itu.

"Tapi itu sahajalah, sehingga sekarang tiada lagi, mungkin juga mereka lupa atau terlepas pandang nama saya.

"Saya bersyukur TV3 dan RTM masih memberi peluang untuk saya," ujarnya yang bakal keluar dengan drama Kalis Kasih di Slot Samarinda.

Tags / Kata Kunci: Syazwan Zulkify
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan