Adi Putra Layak Jadi Mat Kilau - Syamsul Yusof - Berita Hiburan | mStar

Adi Putra Layak Jadi Mat Kilau - Syamsul Yusof

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2018 6:00 AM

Syamsul ada alasan memilih Adi Putra membawakan watak sebagai Mat Kilau

(Ubah saiz teks)

PENGARAH filem Syamsul Yusof berkata dia memilih Datuk Adi Putra sebagai teraju utama dalam filem Mat Kilau setelah mengambil kira beberapa kriteria yang dirasakan bersesuaian dengan pelakon tersebut.

Menurut Syamsul, 33, pelakon berasal Singapura itu memiliki pengalaman luas dalam bidang lakonan dan percaya Adi mampu menjiwai watak pejuang tanah air.

"Saya faham mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa kami pilih Adi dan bukan pelakon asal negeri tersebut untuk bawa watak Mat Kilau?

Adi Putra membawakan watak sebagai Mat Kilau.

"Pemilihannya adalah kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dan saya yakin dia sebagai pelakon berpengalaman akan membawakan watak ini dengan baik," katanya kepada mStar Online.

Syamsul ditemui semasa sidang media pelancaran filem epik Mat Kilau yang diadakan di Dataran Karyawan Finas di Kuala Lumpur pada Khamis.

Selain Adi, filem ini turut dibintangi oleh Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Farid Amirul, A.Galak, Yayan Ruhiyan dan Nadiya Nisaa.

Syamsul percaya kemampuan Adi untuk menjiwai watak legenda tersebut.

Sementara itu, Syamsul berkata pengalaman bekerjasama dengan Adi dalam karya sebelum ini membuatkan dia lebih yakin dengan kemampuan aktor tersebut.

"Saya sebagai pengarah akan melihat kepada karya terlebih dahulu sebelum memilih pelakon dan saya tahu kelebihan serta kekurangan setiap mereka.

"Naluri saya mengatakan pilihan ini tepat dan saya percaya watak Mat Kilau ini akan diterjemahkan dengan baik oleh Adi," katanya.

Filem Mat Kilau mengangkat martabat serta perjuangan agama dan bangsa.

Dalam pada itu, Syamsul memberitahu filem menelan belanja RM5 juta ini bakal memulakan penggambaran pada 1 April depan di sekitar Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

Filem ini diterbitkan oleh Studio Kembara dengan kerjasama Skop Production Sdn. Bhd.

"Ia menelan belanja RM5 juta dan mendapat geran bantuan daripada Finas sebanyak RM1.5 juta dan bakal memulakan penggambaran awal bulan depan.

"Kita jangkakan penggambaran mengambil masa selama dua bulan dan melibatkan hampir 500 pelakon tambahan dan saya boleh katakan filem ini merupakan karya terbesar yang akan saya arahkan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Adi Putra , Syamsul Yusof
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan