“Intan... Hentikanlah Drama Air Mata! Izreen Tak Salah” - Bekas Suami - Berita Hiburan | mStar

“Intan... Hentikanlah Drama Air Mata! Izreen Tak Salah” - Bekas Suami

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2018 11:30 AM

(Ubah saiz teks)

AMPANG: Suami kepada pelakon Izreen Azminda iaitu Ude Wahid menjelaskan beberapa kenyataan yang dikeluarkan bekas isteri pertamanya, Intan Liana Saleh pada 28 Februari lalu itu tidak benar.

Ude atau Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, berkata rumah tangga dia dan Intan sudah lama bermasalah sejak dua tahun lalu sebelum Ude mengenali Izreen.

Malah, Intan juga mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga memandangkan mereka pernah berkali-kali membincangkan masalah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Intan Terima Talak Satu, Ude Milik Izreen Sepenuhnya

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah Bakal ‘Hilang’ Suami, Intan Liana Dapat Tawaran Model Muslimah


Intan (tengah) menerima ketentuan Ilahi bergelar seorang ibu tunggal beranak dua.

“Apa yang Intan keluarkan kenyataan mengatakan yang dia tidak tahu punca sebenar penceraian itu adalah pembohongan semata-mata.

“Dia tahu puncanya. Rumah tangga kami sudah mula bermasalah sejak dua tahun lalu. Sebelum saya mengenali Izreen lagi.

“Kami juga sudah beberapa kali bincang perkara ini dan mengambil keputusan bersama untuk bercerai,” kata Ude kepada mStar Online.

Pemuzik bebas itu juga menegaskan segala masalah yang timbul dalam perkahwinan dia dan Intan tidak ada kena mengena dengan Izreen.

Kata Ude lagi, dia memohon agar bekas isterinya itu juga berhenti dan tidak perlu lagi membuat drama air mata.

Ikatan perkahwinan Ude dan Intan terlerai pada Khamis.

“Izreen tidak bersalah dalam hal ini dan dia juga tidak ada kena mengena dengan masalah rumah tangga kami.

“Berhenti salahkan Izreen. Saya mohon Intan hentikanlah drama air mata,” ujarnya.

Tidak Dendam Bekas Suami - Intan

Dalam pada itu Intan, 33, berkata, dia sedikit pun tidak menyimpan perasaan dendam terhadap Ude untuk menceraikannya bagi meneruskan kehidupan dengan Izreen Azminda.

Intan berkata, dia menganggap jodohnya dengan Ude hanya setakat ini sahaja selain menerima takdir itu dengan hati terbuka.

Ude (kiri) dikerumuni pihak media sebaik sahaja dia menceraikan Intan dengan talak satu.

“Saya reda dengan takdir yang Allah tentukan untuk saya dan terima jodoh saya sampai di sini. Saya tidak marahkan Ude atas apa yang berkaku ini.

“Saya baik-baik saja. Malah pihak keluarga saya juga menerima keputusan ini dengan hati terbuka,” katanya.

Mengenai hak penjagaan anak-anak, Intan berkata, dua cahaya mata mereka masih dalam jagaanya.

Pihaknya bakal memfailkan hak penjagaan sepenuhnya serta tuntutan lain selepas ini.

“Sepanjang kami tidak tinggal bersama Ude bebas membawa anak-anak untuk bersamanya.

Ude bersama anak lelaki keduanya, Ariq Muqri.

“Saya tiada masalah untuk Ude mengambil anak, tapi saya akan failkan hak penjagaan sepenuhnya dan tuntutan lain selepas ini,” ujarnya.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

Pada November lalu, pelakon Izreen Azminda mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.

Izreen mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinan terdahulunya dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza.

Ude menceraikan Intan dengan talak satu kira-kira pukul 9.50 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada Khamis.

Lafaz cerai dibuat di hadapan hakim syarie, Shaiful Azli Jamaluddin dan Intan perlu menjalani tempoh edah selama kira-kira tiga bulan bermula tarikh lafaz cerai dibuat.

Tags / Kata Kunci: Intan Liana , Izreen Azminda , Ude
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan