Gelaran Datin Seri Bukan Penghalang Bagi Lisa Aryanti - Berita Hiburan | mStar

Gelaran Datin Seri Bukan Penghalang Bagi Lisa Aryanti

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2018 6:00 AM

Lisa bersedia menerima segala kritikan daripada netizen.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Lisa Aryanti enggan menjadikan gelaran sebagai Datin Seri yang dipikulnya sebagai penghalang untuk dia meneruskan minat dalam bidang nyanyian.

Lisa berkata dia tidak kisah jika ada pihak yang beranggapan gelaran tersebut menjadikan peluang yang mudah untuk berada dalam industri seni.

"Bagi saya, status sebagai Datin Seri itu bukanlah penghalang untuk saya mengejar impian menjadi seorang penyanyi yang dikenali.

"Malah, saya dah bersedia jika ada mana-mana pihak atau netizen yang menganggap status saya itu sebagai langkah yang senang untuk masuk industri.

"Sejujurnya, saya memang minat pada nyanyian. Sebab itu, saya gunakan peluang yang ada ini untuk teruskan impian saya," kata Lisa kepada mStar Online.


Lisa minat pada bidang nyanyian sejak usia 19 tahun.

Tambah Lisa lagi, dia mula menceburi bidang nyanyian sejak usianya 19 tahun dan sebelum mendapat gelaran itu.

Bagaimanapun, selepas berkahwin dia mengambil keputusan untuk memberi tumpuan pada perniagaan syarikat iklan yang diusahakan bersama suaminya.

"Saya mula menyanyi ketika usia 19 tahun lagi. Tapi ketika itu, saya hanya menyanyi dengan menyertai Kombo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lisa Aryanti.

"Tapi selepas berkahwin, saya sibuk uruskan perniagaan syarikat iklan bersama suami. Sebab itu, baru sekarang saya nak kembangkan bakat ke peringkat yang lebih serius.

"Saya rasa dah tiba masanya saya beri tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian. Memandangkan dua orang anak pun dah besar, perniagaan pun stabil," ujarnya.

Lisa dan suami mempunyai dua orang anak, Raja Ratna Qaseh Aryana, 11, dan Raja Aaron Ruzi, 4,

Dalam pada itu, Lisa berharap single pertamanya berjudul Jangan Cuba ciptaan Rudy (Nastia) dapat diterima peminat muzik.

"Saya berharap lagu pertama ini akan mendapat sambutan daripada peminat muzik tanah air.

"Ini adalah percubaan pertama tapi saya tidak akan berputus asa jika tidak berjaya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Lisa Aryanti
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan