Fuh! Bila Sekarang Semakin Cun, Dulu Nak Solat Pun Susah - Berita Hiburan | mStar

Fuh! Bila Sekarang Semakin Cun, Dulu Nak Solat Pun Susah

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2018 6:15 AM

Bila berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 28 kilogram dalam masa 8 bulan!

(Ubah saiz teks)

BEKAS peserta Akademi Fantasia 2015, Bila mendedahkan dia nekad menurunkan berat badannya selepas tersentak dengan kata-kata seorang jurulatih peribadi yang menegur tentang fizikalnya.

Jelas pemilik nama sebenar Nur Najmi Nabila, 22, teguran itu membuka hatinya untuk mengubah ke arah lebih sihat dengan mengambil keputusan mendengar kritikan dibuat jurulatih peribadi yang dipanggilnya Auntie.

"Kata-kata Auntie yang mengatakan saya mempunyai wajah yang cantik tetapi sayang badan tak cantik membuka hati saya untuk mengubah cara hidup.

"Auntie pula kebetulan seorang jurulatih peribadi dan sejak itu saya mengambil keputusan untuk menyertai kelas yoga dan aerobik yang diadakannya selain mengamalkan diet sihat.

Berat badan Bila pernah mencecah 140.8 kilogram. 

"Alhamdulillah lapan bulan kemudian saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 28 kilogram dan ini baru permulaan!," katanya kepada mStar Online.

Bila yang juga anak kepada pemain gitar bes kumpulan Wings, Eddie ditemui pada tayangan perdana filem Enjin No 9 yang diadakan pada malam Isnin lalu.

Filem arahan Raja Azmi itu turut menapilkan barisan pelakon seperti Tajul Arif, Kazar, Datin Fazilah Mansor, Sharifah Shahira, Abon dan Dottie.

Ia bakal menemui penonton di pawagam bermula 29 Mac ini.

Berkongsi mengenai diet dan senaman yang dilakukan, Bila yang sebelum ini mempunyai berat 140.8 kilogram itu berkata, dia melakukan senaman sebanyak lima kali seminggu termasuk yoga, aerobik dan mendaki bukit.

Perbezaan wajah Bila dari tahun 2015 hingga 2018.

Bagi pemakanan pula, Bila tidak lagi mengambil minuman bergula, menikmati makanan dalam kuantiti kecil dan tidak makan selepas pukul 7 malam.

"Bulan pertama saya amalkan senaman dan diet memang sukar tetapi hasilnya amat berbaloi. Saya masih makan macam biasa cuma dalam kuantiti sedikit selain tak makan selepas pukul 7 malam.

"Kebiasaannya rutin senaman saya bermula seawal 9 pagi dan sebelah petang saya buat aktiviti luar seperti berjoging dan mendaki bukit," katanya.

Menyimpan hasrat berat badannya mencapai angka 70 kilogram, Bila berkata, kehidupannya kini lebih sihat dan aktif selain mempunyai stamina tinggi ketika mengadakan persembahan pentas.

"Kulit wajah saya pun semakin bersih sebab setiap hari sekurang-kurangnya saya akan minum dua liter air kosong.

Bila tidak makan selepas pukul 7 malam antara rahsia berjaya mengurangkan berat badan.

"Badan rasa ringan sangat. Dulu nak solat pun susah sebab perut terlalu besar tetapi Alhamdulillah sekarang lebih senang melakukan ibadat," ujarnya.

Sementara itu, Bila berkata, dia gembira apabila penurunan berat badannya itu turut menjadi inspirasi kepada orang lain untuk mengikut jejak langkahnya termasuk keluarganya sendiri.

Kata Bila, ahli keluarganya juga turut mengikut diet diamalkan selain menyertainya bersenam sebagai salah satu cara untuk menyokongnya.

"Kalau di Instagram ramai pengikut yang menghantar mesej bertanya mengenai teknik dan diet yang saya amalkan untuk kurus dan saya gembira dapat berkongsi perkara itu dengan orang lain.

"Paling seronok keluarga pun juga turut berubah mengamalkan hidup sihat dan saya sekarang jadi pengawal bagi mengawasi mereka termasuk soal pemakanan sihat di rumah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Bila AF , Enjin No 9
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan