Secara Jujur Ismail Izzani Mengaku Tak Minat Ambil SPM - Berita Hiburan | mStar

Secara Jujur Ismail Izzani Mengaku Tak Minat Ambil SPM

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2018 6:30 AM

Ismail tidak sempat daftar duduki SPM tahun lalu menyebabkan dia ambil keputusan untuk belajar di kolej. Foto: SYAZANA ABD SYUKUR.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI yang semakin meningkat naik Ismail Izzani akui tidak berminat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti rakan sebayanya.

Ismail, 18, berkata dia akan terus melanjutkan pelajarannya di kolej swasta dalam jurusan komunikasi melalui peperiksaan awal yang disediakan kolej tersebut.

"Sejujurnya saya bukan seorang yang suka belajar. Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak menduduki SPM seperti rakan yang lain.

"Saya sudah berbincang dengan ibu bapa dan mereka juga bersepakat serta setuju untuk saya terus melanjutkan pelajaran di kolej swasta.

"Untuk masuk kolej itu tidak memerlukan keputusan SPM tapi hanya melalui satu peperiksaan awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Izzani Janji Tidak Abai Pelajaran Selepas Tinggalkan Sekolah

Ismail bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi.

"Insya-Allah, saya ada perancangan untuk lanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi," kata Ismail kepada mStar Online.

Ismail mengambil keputusan tersebut disebabkan tidak sempat mendaftar untuk menduduki SPM pada tahun lalu memandangkan dia belajar dari rumah (home schooling) sejak usia 16 tahun.

Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sabar ini tidak pasti lagi bila masa yang sesuai untuk sambung belajar. 

Ismail Izzani.

"Keputusan ini dibuat pun disebabkan saya tidak sempat daftar untuk ambil SPM tahun lalu.

"Sepatutnya tarikh akhir untuk daftar bulan Mac. Tapi saya dapat tahu masa bulan Mei.

"Saya belum pasti lagi bila waktu yang sesuai untuk sambung belajar. Yang pastinya, bukan dalam masa terdekat," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail sudah melancarkan single terbaru berjudul Luar Biasa yang dicipta khas untuk peminat yang menyokongnya selama ini.

"Alhamdulillah, single terbaru saya dah pun dilancarkan beberapa hari yang lalu dan mendapat sambutan.

"Lagu ini saya cipta memang khas buat peminat yang menyokong karier saya sejak mula lagi," katanya.

Tags / Kata Kunci: Ismail Izzani
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan