Nama Penuh ‘Siti A’ Akan Diketahui Dalam Masa Seminggu - Berita Hiburan | mStar

Nama Penuh ‘Siti A’ Akan Diketahui Dalam Masa Seminggu

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2018 1:55 PM

Siti dan suami timang puteri sulung pada Isnin. Foto Instagram: @rozisangdewi.

(Ubah saiz teks)

BERITA kelahiran puteri sulung penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin nampaknya mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Semua peminat mengucapkan tahniah dan meluahkan rasa teruja untuk melihat wajah serta mengetahui nama penuh bayi pertama Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang lahir pada Isnin.

Menurut pengurus Siti iaitu Rozi Abdul Razak, Siti dan suami akan mengumumkan nama penuh anak mereka dalam tujuh hari selepas kelahiran.

Buat masa kini, nama yang diketahui bermula dengan Siti A dan nama panggilan sementara pula Fatimah Az Zahra sempena nama anak Rasulullah s.a.w.

"Insya-Allah Siti dan suami akan umumkan nama penuh anak mereka dalam masa tujuh hari selepas kelahiran.

"Buat masa ini hanya boleh diberitahu nama bermula dengan Siti A sahaja," kata Rozi kepada mStar Online.


Siti disamping suaminya sebelum ke bilik pembedahan.

Dalam pada itu, Rozi memberitahu Siti dan bayinya dalam keadaan baik dan masih berada di sebuah pusat perubatan, ibu kota.

"Alhamdulillah, Siti dan bayinya dalam keadaan baik sahaja. Mereka berdua masih lagi berada di sebuah pusat perubatan, di sini. Doa yang baik-baik untuk Siti sekeluarga," ujarnya.

Siti dan suaminya memilih hari Isnin bagi menyambut kelahiran anak pertama mereka yang mana ia hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad selain kemuliaan 1 Rejab dalam kalender Islam.

Penyanyi lagu Cindai itu melahirkan bayinya dengan berat 3.55 kilogram kira-kira pukul 8.17 pagi secara pembedahan.

Pasangan itu berkahwin pada 21 Ogos 2006 dan pada 13 Oktober tahun lalu, penyanyi lagu Percayalah ini mengumumkan sedang hamil anak pertamanya.

Pada 1 Disember 2015, Siti Nurhaliza pernah berkongsi rasa sedihnya dengan peminat selepas dia mengalami keguguran yang ketika itu baru berusia dua bulan.

Datuk K mempunyai empat orang anak, kesemuanya lelaki menerusi perkahwinan terdahulu.

Tags / Kata Kunci: Datuk Seri Siti Nurhaliza , Datuk K
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan