Uji Rashid Diarahkan Keluar Rumah, Gagal Bayar Sewa - Berita Hiburan | mStar

Uji Rashid Diarahkan Keluar Rumah, Gagal Bayar Sewa

Diterbitkan: Rabu, 14 Mac 2018 9:00 PM

Noh Omar (tengah) bersama Uji Rashid yang ditemani anak dan cucunya ketika membuat permohonan memohon rumah PPR. FOTO: Facebook Noh Omar.

(Ubah saiz teks)

PETALING  JAYA: Primadona Uji Rashid melalui detik yang sukar ketika ini apabila telah diarah mengosongkan rumahnya di Taman Dagang, Ampang dekat sini dipercayai gagal membayar sewa.

Berita sedih itu dikongsi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar apabila penyanyi itu bersama anaknya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau Cico, 39, dan cucunya hadir ke pejabat kementerian berkenaan bagi meminta bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Noh berkata, disebabkan permohonan artis  itu menepati syarat, maka beliau telah memberi kelulusan khas untuk Uji dan keluarga mendiami rumah berkenaan.


Uji Rashid
Uji Rashid

“Sempat berbual dengan penyanyi veteren yang banyak berjasa dalam industri muzik tanah air Uji Rashid yang datang ke pejabat saya tadi.

“Beliau ada memohon rumah PPR sebelum ini dan saya diberi maklum beliau akan diusir dari rumah sewa di Ampang dalam masa terdekat atas sebab yang sangat menyedihkan.

“Memandangkan permohonan menepati syarat, saya beri kelulusan khas untuk beliau dan keluarga dapat mendiami PPR dengan segera.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi sinar baru dalam kehidupan Uji Rashid sekeluarga,” katanya seperti dikongsi dalam Facebook miliknya pada Rabu.

Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid yang popular pada era 1980-an difahamkan telah beberapa kali membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan kewangan dan perumahan namun semuanya tidak berjaya.

Uji yang merupakan ibu tunggal bergantung sepenuhnya perbelanjaan kepada kerjaya seninya.

Tags / Kata Kunci: Uji Rashid
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan