Ibu Terkejut, Kenapa JC Chee Berlakon Filem Lucah? - Berita Hiburan | mStar

Ibu Terkejut, Kenapa JC Chee Berlakon Filem Lucah?

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2018 6:10 AM

Kata JC Chee, trailer tersebut hanya taktik pemasaran untuk filem tersebut. Foto: YAP CHEE HONG.

(Ubah saiz teks)

HATI ibu mana yang tidak tersentak apabila mengetahui anak sendiri membintangi filem yang memaparkan adegan berahi?

Perkara itu didedahkan pelakon JC Chee selepas ibunya menonton trailer filem Get Hard Tongkat Ali yang mula dilancarkan beberapa minggu lalu.

"Selepas beberapa jam trailer filem ini dimuat naik, mak call dengan keadaan terkejut dan bertanya kenapa saya berlakon dalam filem lucah?

"Namun hatinya mula reda apabila saya menerangkan ini cuma satu taktik pemasaran untuk menarik perhatian penonton terhadap filem ini," katanya kepada mStar Online.

Chee ditemui semasa sesi fotografi untuk mempromosikan filem Get Hard Tongkat Ali di Menara Star di sini pada Isnin lalu.

JC Chee mengakui ibunya terkejut melihat trailer filem tersebut.

Filem arahan Chan Wei Cheong itu turut dibintangi barisan pelakon seperti Juwei Teoh, Sarah Lian, Emily Kong dan Elvis Chin.

Ia sudah menemui penonton di pawagam bermula 8 Mac lepas.

Dalam pada itu, Chee yang juga pernah membintangi filem Ola Bola sebelum ini berkata, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang tanggapan daripada masyarakat tentang lakonannya dalam filem itu.

"Saya sedar pasaran filem Malaysia mempunyai had dan batas yang perlu dituruti untuk mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum mana-mana filem dapat ditayangkan di pawagam.

"Lepas tengok, pasti akan okey kerana filem ini adalah filem komedi yang memberi pengajaran dan penyelesaian tentang isu mati pucuk yang dialami 1/4 lelaki di Malaysia dan ia bukannya filem lucah," katanya.

JC Chee.

Dalam pada itu, Chee mendedahkan kebanyakan aksi panas yang disajikan dalam trailer filem tersebut menggunakan kesan khas kamera.

"Aksi-aksi panas yang anda dapat lihat di trailer kebanyakannya menggunakan kaedah camera trick," ujarnya.

Filem berkenaan ialah dalam bahasa Mandarin namun ada sarikata dalam Bahasa Malaysia.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang dibesarkan di Cuping, Perlis ini baru sahaja tamat penggambaran drama pertama lakonannya bersama saluran tv gergasi dari China.

"Drama 40 episod bersama saluran CCTV bakal ditayangkan tidak lama lagi di China.

"Saya juga berharap dapat beraksi dalam banyak lagi drama dan filem luar negara selepas ini," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: JC Chee
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan