Adik Datang Jamin, Armin Tidak Lagi Bermalam Di Penjara - Berita Hiburan | mStar

Adik Datang Jamin, Armin Tidak Lagi Bermalam Di Penjara

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2018 7:48 PM

Armin Zaharin (tengah) ketika di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Suami kepada penyanyi Ziana Zain iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri akhirnya bebas daripada tahanan yang dilaluinya sejak 2 Mac lalu apabila ikat jaminnya sebanyak RM5,000 dibayar pada petang Khamis.

Adik kepada bekas ketua pramugara sebuah syarikat penerbangan itu hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi menyelesaikan ikat jamin berkenaan.

Sebelum ini, Armin terpaksa bermalam selama dua hari di Penjara Sungai Buloh selepas tiada ahli keluarga atau rakan yang tampil membayar ikat jamin pada sebutan kali pertama kes pada Selasa lalu atas dakwaan dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya.

Dalam pada itu, pada sebutan semula kes tersebut pada Khamis, Armin mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan pindaan kes itu dibacakan kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan Armin! Tercari-Cari Manakah Penjamin, Tiada Siapa Menemani

ARTIKEL BERKAITAN: “Ia Terlalu Peribadi Untuk Diulas” - Ziana Zain

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi meminda pertuduhan iaitu Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Ziana Zain enggan komenmengenai hal rumah tangganya.

Di bawah Seksyen 326A, Armin, 53, boleh dikenakan dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 324, jika sabit kesalahan, berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mengikut pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Sebutan semula kes itu didengar dihadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Dia diwakili peguam, Muhammad Zufar Elias yang bertindak sebagai peguam bidan terjun yang rela hati mahu membantunya pada sebutan semula kes itu.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk pengurusan dokumen kes.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana atau Siti Roziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu bernikah dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Tags / Kata Kunci: Armin Zaharin , Ziana Zain
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan