Kornea Mata Bocor, Penglihatan Liza Abdullah Terjejas - Berita Hiburan | mStar

Kornea Mata Bocor, Penglihatan Liza Abdullah Terjejas

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mac 2018 12:37 PM

Pelakon Datuk Shah Reza turut meluangkan masa melawat rakan baiknya, Liza Abdullah ketika berada di hospital. Foto Instagram @shahrezza61

(Ubah saiz teks)

PELAKON terkenal Liza Abdullah reda penglihatannya sedikit terjejas ekoran terkena jangkitan sejak seminggu lalu sehingga menyebabkan mata kanannya tidak boleh dibuka akibat bengkak.

Liza, 53, berkata, doktor memberitahu kornea mata kanannya semakin menipis selain terdapat kebocoran dan nanah yang mengakibatkan penglihatannya terjejas.

"Apabila doktor beritahu keadaan sebenar memang saya rasa takut tambahan pula keadaan mata saya yang tidak boleh dibuka selain merasa sakit sehingga menyebabkan kepala jadi berat.

"Jika saya lambat mendapatkan rawatan kerosakan itu mungkin lebih teruk. Alhamdulillah selepas doktor membuat rawatan meletak gam pada kornea, saya beransur pulih.

"Cuma kesannya penglihatan saya sedikit terganggu tetapi saya tetap bersyukur kerana masih dapat melihat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Liza terdahulu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Februari selepas seminggu mengalami sakit mata sebelum dibenarkan pulang pada Khamis lalu.

Liza turut dikunjungi teman baiknya ketika di hospital.

Dalam pada itu, Liza berkata, kerosakan pada kornea matanya mungkin disebabkan tabiatnya menggunakan ubat titik mata selain penggunaan kanta lekap untuk tempoh panjang.

"Bekerja sebagai pelakon memang selalunya tidak cukup rehat dan mulalah mata bertukar merah. Cara paling mudah untuk menghilangkannya adalah menggunakan ubat titik mata.

"Kanta lekap juga mungkin punca tetapi saya rasa itu bukan sebab utama kerana jangkitan yang berlaku hanya pada mata kanan.

"Apa pun puncanya ia jadi iktibar kepada saya untuk lebih peka dan berhati-hati dalam penggunaan ubat titik mata atau kanta lekap pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Liza mengakui, kedegilannya berjumpa dengan pakar menyebabkan keadaannya bertambah teruk walaupun hampir seminggu matanya sakit.

Jelasnya, dia bukan tidak mementingkan kesihatan sebaliknya komitmen terhadap penggambaran drama dan iklan yang dijayakan membuatkan dia menangguhkan niat berjumpa doktor.

Liza bersama anaknya, Naffiz. 

"Saya ada pergi ke klinik untuk ambil ubat tetapi doktor marah saya kerana keadaan mata sudah teruk dan minta saya pergi jumpa pakar.

"Tetapi saya berdegil kerana fikiran saya memikirkan tentang penggambaran yang sedang berjalan dan tidak boleh meninggalkannya begitu sahaja.

"Nasib baik belum terlewat dan Alhamdulillah sekarang saya berehat di rumah dan pihak produksi pun memahami situasi yang saya alami sekarang," katanya.

Malah kata Liza, dia terharu dan rasa disayangi apabila ramai menelefon dan meninggalkan mesej agar dia kembali sembuh secepat mungkin.

"Dalam ditimpa dugaan tetapi tetap ada manisnya apabila ramai mendoakan agar saya kembali sihat sampai saya tidak terbalas setiap mesej dihantar.

"Saya bersyukur sangat kerana ramai prihatin dengan keadaan saya dan doakan saya cepat sembuh," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Liza Abdullah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan