Nora Danish Dedah Lalui Saat Cemas Akibat Dua Fibroid - Berita Hiburan | mStar

Nora Danish Dedah Lalui Saat Cemas Akibat Dua Fibroid

Diterbitkan: Ahad, 25 Februari 2018 12:06 PM

Nora dedah kemungkinan ke ICU akibat fibroid. Foto Instagram: @noradanish

(Ubah saiz teks)

PELAKON Nora Danish berkemungkinan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) jika tidak segera bersetuju untuk melahirkan bayi lelakinya, Mohamed Neqayl Nedim atau NeyNey.

Menurut selebriti berusia 37 tahun itu, doktor mengesahkan dia mempunyai dua fibroid yang sangat berbahaya dan menasihatinya supaya melahirkan NeyNey secara pembedahan.

"Ikutkan saya memang nak lahirkan NeyNey secara normal tetapi dinasihatkan oleh Dr. Aziz supaya melakukan pembedahan kerana selepas diperiksa dengan teliti saya ada dua fibroids yang sangat bahaya.

"Saya bersyukur kandungan selamat kerana sebenarnya fibroid ini boleh menyebabkan keguguran dan saya mungkin ada di ICU.

"NeyNey dijangka lahir pada 9 Mac tapi nampaknya dia nak lihat dunia lebih awal. Alhamdullillah, untuk bayi pra-matang, anak saya sihat," tulisnya di Instagram pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Ada Pantang Seperti Selebriti Lain Untuk Nora Tayang Anak

Perkongsian Nora di laman Instagram.

Perkongsian isteri kepada usahawan Nedim Nazri ini menerima lebih 60,000 tanda suka dan rata-rata mengucapkan syukur Nora dipermudahkan urusan kelahiran.

Sementara itu, Nora menasihatkan wanita di luar sana yang merancang untuk mempunyai anak supaya melakukan pemeriksaan kesihatan dan jika dikesan mempunyai fibroid sepatutnya menjalani pembedahan membuangnya.

"Saya nak nasihatkan wanita di luar sana yang merancang untuk ada anak supaya buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

"Jika ada fibroids buang dahulu. Saya bertuah sangat kami berdua selamat dan sihat. Syukur kepada Allah dan terimakasih Dr. Aziz," ujarnya.

Pelakon filem Makrifat Cinta ini selamat melahirkan bayi lelaki seberat kira-kira tiga kilogram di sebuah hospital swasta di ibu negara pada pukul 9.02 pagi Khamis.

Pada awalnya NeyNey dijangka lahir pada 9 Mac.

Nora dan Nedim berkahwin pada 30 Mac 2017 dan ia adalah perkahwinan kedua buat mereka.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli dan mereka mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang berusia 9 tahun.

Mereka bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.

Nedim juga seorang duda anak satu selepas bercerai pada tahun 2013. Dalam perkahwinan pertama itu Nedim turut mendapat anak lelaki.

Tags / Kata Kunci: Nora Danish , NeyNey
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan