Hael Hussaini Terpaksa Tolak Permintaan Cipta Lagu - Berita Hiburan | mStar

Hael Hussaini Terpaksa Tolak Permintaan Cipta Lagu

Diterbitkan: Ahad, 25 Februari 2018 6:00 AM

Hael Husaini Foto Shaari Che Mat.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penyanyi Hael Hussaini yang popular dengan lagu Jampi mengakui terpaksa menolak permintaan beberapa artis yang mahukan lagu ciptaannya.

Hael berkata, dia menolak bukan kerana memilih artis sebaliknya, memerlukan sedikit masa untuk menghasilkan sesebuah lagu mengikut karakter penyanyi berkenaan.

"Secara jujurnya memang ada permintaan buat lagu saya terpaksa tolak kerana tidak mahu tergesa-gesa dan gelojoh untuk menghasilkan sesuatu karya.

"Jadi jika ada yang mahu dalam tempoh masa cepat saya terpaksa tolak. Seperti lagu Ayda Jebat dan Stacy yang bakal dilancarkan tidak lama lagi itu pun dibuat dari tahun lepas," ujarnya kepada mStar Online.


Antara rakan artis yang hadir pada majlis tersebut.

Hael ditemui pada Malam Penghargaan Jampi di Ruang, Shah Alam, malam Jumaat.

Jampi ciptaan Hael dan Ezra Kong diumum sebagai juara pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke 32  (AJL) yang berlangsung pada 12 Februari lalu.

Selain itu, katanya, dia tidak mempunyai simpanan lagu terbaik untuk diri sendiri mahupun khas untuk mana-mana penyanyi istimewa.

"Saya tidak simpan lagu yang baik untuk diri sendiri, semua yang saya buat mengikut suara artis itu sendiri. Lagu Dia sesuai dengan vokal Dayang Nurfaizah, Nisan Cinta untuk Siti Nordiana dan Jaclyn Victor, manakala Pematah Hati memang khas untuk Nabila Razali.

"Tak mungkin saya nyanyi lagu 'Cumi-Cumi' sebab tidak sesuai pula," ujarnya.

Kelab peminat Hael turut meraikan kejayaan Jampi.

Dalam pada itu, Hael berkata, dia kini sedang menyiapkan lagu istimewa untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Saya sudah lama simpan hasrat untuk buat lagu untuk beliau dan baru sekarang ada rezeki itu. Tapi masih lagi dalam proses dan ambil masa sedikit.

"Namun, saya tidak berkecil hati andai lagu yang saya buat itu tidak menepati citarasa beliau dan ditolak kerana ia adalah lumrah bagi semua komposer," ujarnya.

Majlis tersebut dihadiri lebih 100 tetamu yang terdiri daripada rakan artis, media dan peminat-peminatnya.

Antara artis yang hadir ialah Wany Hasrita, Nabila Razali, Ara Johari, Ismail Izani, Sissy Iman, Dottie, Amylea Azizan, Fizi Ali dan Shakila Khoriri. 

Tags / Kata Kunci: Hael Hussaini , Jampi , AJL32
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan