Di Malaysia Orang Tak Pandang Tapi Hampir 50 Wartawan Filipina ‘Sambut’ Min Yasmin - Berita Hiburan | mStar

Di Malaysia Orang Tak Pandang Tapi Hampir 50 Wartawan Filipina ‘Sambut’ Min Yasmin

Diterbitkan: Khamis, 22 Februari 2018 2:34 PM

Min Yasmin menunjukkan albumnya berjudul 'Pangarap' yang dilancarkan di Manila pada Khamis. FOTO: Nur Asyikin Mayudin

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Min Yasmin semenangnya kurang dikenali di negara sendiri tetapi lihatlah sambutan terhadapnya ketika melancarkan album terbaru di Manila, Filipina apabila dia dikerumuni hampir 50 wartawan negara itu.

Dalam sidang media yang diadakan di Manila Polo Club itu, wartawan media negara berkenaan dilihat kagum dengan kehebatan Min Yasmin yang mampu melebarkan sayapnya ke negara mereka termasuklah menghasilkan lagu dalam bahasa Tagalog.

Malah wartawan negara berkenaan juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar dengannya selain mendapatkan tanda tangan menerusi album yang diedarkan pada sidang media berkenaan.

Ia satu penghargaan luar biasa diberikan kepada penyanyi ini yang seolah-oleh dipinggirkan di negara sendiri.

Min Yasmin mahu melebarkan sayapnya di Manila.

Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 29, berkata album pertama yang dilancarkan itu berjudul Pangarap merangkumi lima bahasa.

Dia hanya ingin memberi fokus mempromosikan album tersebut daripada memikirkan untuk bertanding dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

“Apabila dah ada album ini lebih baik saya fokus saja kepada promosi di Manila memandangkan karier saya lebih berkembang di sini.

“Saya rasa tak perlu untuk bertanding dalam mana-mana pentas anugerah atau pertandingan di Malaysia atau antarabangsa.

Min Yasmin menandatangani album yang diberikan kepada wartawan Filipina.

“Sebab saya dah ada album dan perlu beri tumpuan pada karier nyanyian di Manila,” kata Min Yasmin kepada mStar Online.

Min ditemui ketika majlis pelancaran album pertamanya berjudul Min Yasmin Pangarap yang mengandungi 14 buah lagu di Manila Polo Club, Filipina pada Khamis.

Album yang melibatkan lima bahasa iaitu Tagalog, Tausug, Sama, Inggeris dan Melayu itu mendapat sentuhan komposer terkenal, Julfekar serta tiga orang komposer Filipina iaitu Raz Tawasil Itum (Tagalog), Nelson Dino (Tausug) dan Andhee Basion (Sama).

Wartawan Malaysia turut dibawa bagi memeriahkan majlis pelancaran tersebut.

Lihat tu... ramai wartawan dari media Filipina yang hadir memberi sokongan kepada Min Yasmin.

Ia turut diserikan dengan persembahan lima buah lagu daripada Min Yasmin.

Dalam pada itu, Min meluahkan hasrat untuk mengadakan konsert solo pertamanya di Filipina jika diberi peluang.

“Sudah tentu saya teringin nak mengadakan konsert solo di sini. Tapi belum ada peluang lagi untuk adakan konsert itu.

“Insya-Allah kalau diberi peluang, memang akan ada khas untuk peminat,” ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Min Yasmin , Julfekar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan