Taj (Innuendo) Akhirnya Tampil Beri Keterangan - Berita Hiburan | mStar

Taj (Innuendo) Akhirnya Tampil Beri Keterangan

Diterbitkan: Selasa, 20 Februari 2018 4:07 PM

Taj (kanan) bersama peguamnya ketika hadir beri keterangan pada Selasa. Foto paparan skrin dari Faceboook Harian Metro.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Anggota kumpulan Innuendo, Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir atau Taj tampil memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, dekat sini, berhubung dakwaan Datuk Farid Kamil mengenai dadah yang dimasukkan ke dalam minumannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superitendan Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi berkata, Taj bersama peguamnya hadir kira-kira pukul 11 pagi Selasa bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

"Individu tersebut hadir pagi tadi di Balai Polis Mutiara Damansara, kita ambil keterangan dan akan tengok semula keterangan yang telah diambil dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada mStar Online, pada Selasa.

Ku Mashariman berkata, keputusan ujian saringan air kencing artis berusia 40 tahun itu masih dianalisis dan setakat ini, tiada tangkapan dibuat.

Masukkan Dadah Dalam Minuman Farid, Taj (Innuendo) Diminta Tampil

Taj hadir bersama peguam, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dan Mohammad Ashmeer Mohammad Ashrof Raja.

Sementara itu, menerusi siaran langsung sebuah portal, peguamnya Muhamad Akmal Arif berkata, Taj sudah memberi kerjasama dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak polis.

"Apa pun kami sudah beri kerjasama dan serahkan kepada pihak polis untuk keputusan selanjutnya.

"Saya dihubungi oleh Taj malam tadi (Isnin) untuk mendapatkan bantuan, kita akan ikut lunas undang-undang. Ada perkara yang saya tidak boleh beritahu dan mungkin akan dibawa ke muka pengadilan," ujarnya.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan ganja dalam minumannya menyebabkan beliau berkelakuan ganjil sehingga mendorongnya menyerang polis dan orang awam, 11 Januari lalu.

Pada 6 Februari lalu, Sofi Jikan tampil memberi keterangan dan ditahan reman selama tiga hari pada keesokan harinya selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Polis kemudian memberi tempoh 24 jam kepada dua lagi individu, termasuk Taj supaya tampil memberi keterangan berkaitan laporan Farid itu.

Pada 11 Februari, pengarah dan penerbit sebuah syarikat pengiklanan beribu pejabat di Johor Bahru, Ahmad Fairuz Ahmad Rusli, 47, atau Osh, tampil memberi keterangan berhubung dakwaan Farid itu.


Tags / Kata Kunci: Taj Innuendo
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan