Adira Ada Tiga Tahun Lagi Sebelum 'Tutup Kilang' - Berita Hiburan | mStar

Adira Ada Tiga Tahun Lagi Sebelum 'Tutup Kilang'

Diterbitkan: Sabtu, 17 Februari 2018 6:50 AM

Adira sudah bersedia untuk menambah bilangan ahli keluarga. Foto AHMAD ZAMIR

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Adira sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua walaupun anak pertamanya yang dilahirkan pada Mac tahun lalu belum pun mencecah usia setahun.

Kata Adira atau Siti Adira Suhaimi, 27, dia mengimpikan sebuah keluarga besar dan mahu menambah bilangan cahaya mata sementara usianya masih muda.

"Insya-Allah kalau ada rezeki memang nak tambah anak. Doakan saya cepat-cepat hamil lagi.

"Sementara usia masih muda lebih baik mengandung, nanti apabila umur sudah meningkat anak-anak pun dah besar," katanya.

Adira bersama anaknya, Anggerik.

Dalam pada itu, Adira berkata, dia bercadang untuk menutup 'kilang' apabila usianya mencecah 30 tahun bagi membolehkan dia memberi fokus kepada pembesaran anak-anak.

Pada ketika itu juga kata Adira, dia ingin memberi tumpuan kepada mengukuhkan karier seninya.

"Memang nak 'tutup kilang' bila usia masuk 30 tahun, jadi sebab tu sekarang kena mengandung. Saya ada tiga tahun lagi... hahaha.

"Nanti boleh fokus kepada tumbesaran anak-anak dan fokus sepenuhnya kepada karier seni," ujarnya.

Tambah Adira, suaminya, Datuk Seri Adnan Abu juga tidak menghalang hasratnya menambah cahaya mata namun ia bergantung kepada rezeki.

Adira kembali dengan single terbaharu berjudul Sembunyi. 

Adira berkahwin dengan usahawan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Dalam perkembangan lain, Adira berkata, dia baharu sahaja muncul dengan single terbaharunya yang berjudul Sembunyi dan akan kembali sibuk dengan karier seninya selepas ini.

"Sembunyi masih sebuah karya balada tetapi sarat dengan elemen R&B. Saya ingin tampil kelainan kerana ingin mengikut peredaran muzik semasa.

"Fokus saya tahun ini juga untuk kembali merancakkan karier seni memandangkan sebelum ini agak lama saya berehat," katanya.

Tags / Kata Kunci: Adira , Sembunyi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan