Kenapa Syamel Panggil Sayang? Keluarga Ernie Pula Kecewa - Berita Hiburan | mStar

Kenapa Syamel Panggil Sayang? Keluarga Ernie Pula Kecewa

Diterbitkan: Rabu, 7 Februari 2018 6:35 AM

Hubungan Ernie Zakri dan Syamel hanya sekadar sahabat baik.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Syamel menjelaskan tindakannya memanggil rakan duetnya menerusi lagu Aku Cinta iaitu Ernie Zakri dengan panggilan 'sayang' bukan bererti mereka pasangan kekasih.

Sebaliknya kata Syamel, panggilan itu sekadar gurauan dan tidak mempunyai sebarang maksud tertentu seperti mana disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

"Orang mungkin terdengar saya panggil Ernie 'sayang' dan macam-macam orang boleh cakap.

"Jujurnya kami tak bercinta pun dan panggilan itu sekadar gurauan kerana dia adalah sahabat baik saya.

"Terus-terang terkejut juga saya apabila gosip mengenai perkara itu keluar memandangkan tiada apa yang berlaku di antara kami," katanya.

Syamel ditemui pada majlis pelancaran muzik video artis dibawah label Rocketfuels di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Syamel hanya bergurau memanggil Ernie Zakri dengan panggilan sayang.

Penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu berkata demikian sebagai mengulas gosip ruangan pojok sebuah akhbar yang mendakwa mereka sedang bercinta dan memanggil Ernie dengan gelaran 'sayang'.

Malah keluarga kedua-dua belah pihak dilaporkan sudah merestui hubungan mereka.

Dalam pada itu, Syamel berkata, dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyorok hubungannya dengan Ernie sekiranya benar mereka bercinta.

"Kami memang berkawan baik... kalau betul bercinta saya terus-terang tetapi ia tidak berlaku.

"Buat masa ini fokus saya nak kumpul duit beli kereta, beli rumah dan untuk itu saya tiada masa bercinta kerana bimbang konsentrasi terganggu," ujarnya.

"Perasaan Mereka Sangat Kecewa" - Erni

Sementara itu, Ernie yang dihubungi mStar Online berkata, dia atau keluarganya tidak pernah membuat sebarang kenyataan kononnya mereka merestui hubungan cintanya dengan Syamel.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 26, berkata, dia terkilan dengan gosip berkenaan kerana ia turut melibatkan keluarganya yang tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara itu.

"Saya dan keluarga tidak pernah beri kenyataan apa-apa. Apatah lagi kenyataan direstui itu. Saya manusia biasa yang ada keluarga, ibu dan bapa.

Ernie terkilan gosipnya dengan Syamel turut melibatkan keluarga.

"Perasaan mereka sangat kecewa sebab mereka pun tidak pernah bercerita dekat sesiapa mengenai hubungan saya dan Syamel. Tiba-tiba keluar pula gosip macam itu.

"Keluarga saya dan Syamel memang tahu hubungan kami sekadar baik sebagai rakan satu industri dan di luar," ujarnya.

Hubungan Ernie dan Syamel mula rapat semenjak mereka digandingkan menerusi program Duo Star pada tahun lalu.

Dalam pada itu, juara Bintang RTM 2009 ini mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada Anugerah Juara Lagu yang ke-32 (AJL) yang akan berlangsung pada Ahad ini.

"Saya harap semua peminat doa yang baik-baik untuk AJL akan datang ini sebab itu kami punyai matlamat lebih penting sekarang.

"Buat masa sekarang saya tak nak tambah isu yang lain dalam kepala dan nak fokus pada lagu taruhan kami," katanya.

Tags / Kata Kunci: Ernie Zakri , Syamel , AJL31

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan