Anuar Zain, Bunga & Yuka Angkat Keakraban Dua Negara - Berita Hiburan | mStar

Anuar Zain, Bunga & Yuka Angkat Keakraban Dua Negara

Diterbitkan: Selasa, 6 Februari 2018 6:00 AM

Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma bakal menghiburkan peminat pada 28 April depan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Konsert gabungan dua buah negara memang kerap kali diadakan di ibu kota Malaysia bagi mempamerkan keakraban antara Malaysia dan Indonesia.

Namun berbeza untuk kali ini, tiga nama yang belum pernah disatukan dalam satu pentas, akhirnya dipertemukan atas nama BCL (Bunga Citra Lestari), Anuar Zain & Yuka Kharisma Live In Concert yang bakal berlangsung pada 28 April depan.

Lebih menarik lagi tiga penyanyi dengan peminat tersendiri ini akan disatukan di pentas yang penuh berprestij iaitu di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Konsert ini juga merupakan penampilan pertama BCL serta Yuka untuk sebuah konsert berskala besar di Kuala Lumpur.

Yuka yang merupakan penganjur untuk konsert ini merasakan acara itu bakal memberikan keistimewaan yang tersendiri bukan sahaja buat dirinya tetapi juga para peminat.

Anuar Zain dan Bunga.

Penyanyi yang kali terakhir muncul dengan lagu Hati Berbisik iaitu lagu runut bunyi filem Love Supermoon ini merasakan konsert berkenaan akan membawa pengertian tersendiri buat dirinya.

“Selain menjadi sebuah platform untuk syarikat  saya bergerak sebagai sebuah penganjur acara,konsert kali ini menemukan saya dengan dua nama yang cukup besar di negara masing-masing.

"Pastinya sebuah kegembiraan dan kesyukuran buat saya apabila mereka bersetuju untuk berada satu pentas bersama saya nanti,” ujar Yuka yang merupakan pemilik Kharisma Entertianment Sdn Bhd.

Konsert yang akan berlangsung dalam durasi dua setengah jam ini turut mendapat kerjasama dari DTA Fashion Art Performance Sdn Bhd.

Bunga Citra Lestari yang diterbangkan dari Indonesia bakal membawakan kumpulannya yang terdiri dari enam pemuzik manakala Anuar Zain serta Yuka pula akan diiringi oleh lapan orang pemuzik tempatan,tiga penyanyi latar dengan Sze Wan sebagai Pengarah Muzik.

Konsert gabungan ketiga-tiga artis ini bakal diadakan di Plenary Hall, KLCC.

Sehubungan dengan berlangsungnya sidang media konsert ini, Yuka juga turut mengambil peluang untuk melancarkan album terbarunya yang bertajuk #1.

Album yang mempunyai lapan buah lagu ini menyaksikan kerjasama Yuka dan Pay, komposer Indonesia bersatu menjadi produser untuk album ini.

“Saya mengambil masa setahun untuk menyiapkan album ini. Album ini mempertaruhkan lagu bertajuk Mati Rasa sebagai single pertama. Lagu ini ditulis dan digubah secara keseluruhannya oleh saya,” ujar Yuka.

Tiket-tiket dijual dengan harga RM2199 (Intimate), RM1,599 (platinum), RM588 (diamond), RM488 (gold), RM388 (silver), RM288 (bronze) dan RM188 (regular).

Untuk pembeli tiket intimate, mereka akan menerima jemputan ke pra parti, barangan konsert, peluang bergambar bersama artis serta  laluan VIP. Manakala pembeli tiket Platinum akan menerima jemputan ke pra parti, barangan konsert dan laluan VIP.

Tiket  konsert dijual mulai 31 Januari 2018 dijual di kaunter Dewan Plenari, KLCC pada 28 April kelak.  

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan