Hanya Doa Selamat - Siti Nurhaliza - Berita Hiburan | mStar

Hanya Doa Selamat - Siti Nurhaliza

Diterbitkan: Selasa, 23 Januari 2018 6:40 AM

Siti dan suami hanya mengadakan majlis doa selamat untuk menyambut kelahiran bayi sulung mereka. Foto: LOW LAY PHON.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan majlis baby shower bagi menyambut kelahiran puteri sulungnya pada bulan Mac depan.

Siti, 39, berkata dia dan suami hanya mengadakan majlis doa selamat yang dihadiri keluarga, anak-anak tahfiz dan rakan terdekat sahaja.

"Saya memang tidak ada perancangan untuk mengadakan sebarang majlis baby shower untuk menyambut kelahiran bayi sulung.

"Baru-baru saya dan suami ada membuat majlis doa selamat yang dihadiri keluarga, anak-anak tahfiz serta rakan terdekat sahaja," kata Siti kepada mStar Online.


Siti dan suami hanya mengadakan majlis doa selamat untuk menyambut kelahiran puteri sulung mereka.

Siti ditemui ketika majlis ulang tahun kelab peminatnya, Sitizoner yang ke-14 di Bizmilla Insya Hall, Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Kata Siti lagi, dia juga akan melalui proses berpantang selama 44 hari seperti wanita lain dan membuat latihan vokal serta mengembalikan tenaga untuk aktif semula dalam nyanyian.

"Sama seperti wanita lain juga, saya akan melalui proses berpantang selama 44 hari dan selain itu akan melakukan latihan vokal.

Siti tampil dengan lagu terbaru Comel Pipi Merah.

"Saya juga akan mengembalikan stamina atau tenaga untuk aktif semula menyanyi selepas bersalin nanti," ujarnya.

Bercerita mengenai lagu terbarunya berjudul Comel Pipi Merah, ia merupakan idea daripada lagu yang dinyanyikan oleh arwah bapanya untuk anak-anak serta cucu ketika kecil.

Menurut penyanyi lagu Segala Perasaan itu, suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K turut menyukai lagu tersebut ketika pertama kali mendengarnya.

"Idea lagu tersebut saya ambil daripada arwah bapa saya sendiri yang suka nyanyikan untuk anak-anak dan cucunya ketika kecil.

"Cuma saya ada ubahkan rentaknya sedikit. Pertama kali suami saya dengar dia dah tersengih dan sangat sukakan lagu itu," katanya.

Buat pertama kali siti menyanyikan lagu tersebut istimewa buat semua peminat pada majlis ulangtahun kelab peminatnya.

Tags / Kata Kunci: Datuk Seri Siti Nurhaliza , Datuk K

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan