“Anggaplah Saya Cikgu” – Mark Adam - Berita Hiburan | mStar

“Anggaplah Saya Cikgu” – Mark Adam

Diterbitkan: Isnin, 22 Januari 2018 6:00 AM

Mark bersyukur dengan apa yang diperolehinya sekarang. Foto: NUR ASYIKIN.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Mark Adam lebih selesa dianggap sebagai tenaga pengajar berbanding dikenali sebagai pemilik pusat latihan vokal, Suara Academy.

Bagi Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam, 39, pemilik sebenar pusat latihan nyanyian itu ialah isterinya Norazah Redzuan.

"Di sini, saya bukan ketua. Saya hanya salah seorang tenaga pengajar. Biarpun saya yang membuka pusat latihan itu tapi saya tak letak diri sebagai pemilik.

"Bagi saya, pemilik itu adalah isteri saya dan hanya anggap diri sebagai cikgu sahaja sama dengan yang lain," kata Mark kepada mStar Online.


Mark seronok menjadi guru di pusat latihan vokalnya.

Mark Adam ditemui ketika majlis graduasi pelajar kelas vokal dan ulang tahun pertama sekolah muziknya, Suara Academy di Neo Damansara, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Suara Academy yang diuruskan Mark sejak tahun lalu kini sudah mempunyai hampir 80 orang pelajar. Antara selebriti menyertainya ialah Janna Nick, Aiman Tino dan Nazim Othman.

Menurut Mark, sejak dulu lagi dia berpegang pesanan bapanya yang meminta untuk berkongsi ilmu dengan semua orang.

Mark Adam.

"Bapa saya dulu pernah berpesan, ilmu-ilmu yang saya dapat daripada dia, kawan-kawan dan bapa saudara itu wajib dikongsi bersama apabila besar nanti.

"Dia kata saya tak boleh simpan ilmu itu hanya untuk diri sendiri. Perkara itu tidak bagus. Sebab saya peroleh secara percuma.

"Sebab itu salah satu tujuan utama saya membuka pusat latihan itu untuk menolong sesiapa yang berminat dalam bidang muzik," ujarnya.

Dalam pada itu, peserta Bintang Bersama Bintang 2017 ini meluahkan rasa syukur dengan apa yang diperolehnya sekarang.

"Alhamdulillah, masa mula kami buka hanya ada seorang saja cikgu iaitu saya sendiri. Kemudian baru ada tambahan dan salah seorangnya adalah Ewal AF 2011.

"Selain itu ada dua orang cikgu perempuan yang baru sahaja tamat belajar dalam Sarjana muzik. Makin lama, makin berkembang.

"Saya sangat bangga dengan apa yang ada sekarang," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mark Adam , Suara Academy

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan