“Ikut Hati Nak Tarik Semua” - Tengku Abdullah - Berita Hiburan | mStar

“Ikut Hati Nak Tarik Semua” - Tengku Abdullah

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 5:00 PM

(Ubah saiz teks)

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah  menzahirkan rasa dukacita terhadap individu termasuk golongan artis yang dianugerahkan  darjah kebesaran Pahang dan terlibat dengan perbuatan tidak sepatutnya.

Titah baginda, semua penerima gelaran Datuk Seri' dan 'Datuk' dari Pahang sepatutnya sudah maklum akan syarat serta etika yang harus dipatuhi dalam  pemakaian gelaran itu.

Jika berlaku perlanggaran etika pemakaian darjah kebesaran itu, Tengku Abdullah menggesa supaya jawatankuasa yang berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya tidak mahu cakap terlebih... kalau ikut hati, hendak tarik semua tapi kena ikut prosedur. Kalau (mereka) sudah sedar dan pulangkan sendiri (darjah kebesaran) itu lebih bersopan.

“Kita bukan hendak menghukum mana-mana pihak tetapi mereka sendiri tersilap langkah," titah baginda seperti dilaporkan Bernama, Rabu.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa kebakaran di Sungai Isap 2, Kuantan, Pahang.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Datuk Farid Kamil didakwa dengan empat tuduhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Pelakon dan pengarah itu didakwa menyerang dan menyebabkan kecederaan ke atas dua individu, masing-masing seorang anggota polis dan orang awam.

Kejadian itu berlaku di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, minggu lalu.

Pelakon dan pengarah berusia 37 tahun itu menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 16 Disember 2017.


Tags / Kata Kunci: Tengku Abdullah , Farid Kamil
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan