“Hentikan Tohmahan, Saya Maafkan Dia” – Zulin Aziz - Berita Hiburan | mStar

“Hentikan Tohmahan, Saya Maafkan Dia” – Zulin Aziz

Diterbitkan: Ahad, 14 Januari 2018 12:45 PM

Zulin tidak mahu memanjang isu tersebut dan bersedia memaafkan wanita itu. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI / THE STAR

(Ubah saiz teks)

PENYAMPAI radio Suria FM, Zulin Aziz meminta peminat menghentikan tohmahan kepada individu yang memuat naik status makian terhadap dirinya di laman Facebook, baru-baru ini.

Menurut Zulin, dia sudah menerima permohonan maaf wanita tersebut dan menganggap isu berkenaan selesai serta tidak perlu diperbesarkan lagi.

"Saya mohon hentikan segala tohmahan ke atas wanita itu kerana dia sudah pun meminta maaf dan sedar akan perbuatannya.

"Dengan rendah hati saya memaafkan segala apa yang dia kata pada saya, sedangkan Nabi maafkan umat apatah lagi saya manusia biasa," tulisnya di laman Instagram.

Zulin maafkan wanita tersebut.

Terdahulu, Zulin menerusi laman Instagramnya menyatakan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita berkenaan.

Ia berikutan status di Facebook wanita tersebut yang menggelar Zulin sebagai 'Perempuan Melayu Sundal' berhubung kenyataan Zulin mengenai isu bermadu di sebuah akhbar tempatan.

Dalam pada itu, Zulin berkata dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut dan enggan bermusuh dengan mana-mana pihak.

"Ikhlas dari hati, saya tidak mahu memusuhi sesiapa apatah lagi memanjangkan perkara negatif dalam hidup saya.

Wanita tersebut membuat permohonan maaf di laman Facebook.

"Saya juga memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung mana-mana pihak dan semoga menjadi pengajaran pada orang lain," katanya.

Menerusi laman Facebook bernama Durra Hatta, wanita tersebut menyatakan permohonan maaf kepada penyampai program Suria Pagi itu.

Ujarnya, dia menyedari kelanjuran dan segera memadam status berkenaan sejam selepas dimuat naik di laman tersebut.

"Saya dengan rendah diri memohon maaf di atas ketelanjuran dan kekhilafan ini. Walaupun sudah memadamkan status tersebut sejam kemudian tetapi ia tetap memberi implikasi tidak baik kepada saya dan Zulin.

"Keterlanjuran ini adalah akibat naluri saya sebagai wanita yang terkesan dengan kenyataan Zulin seperti yang dilapor sebuah akhbar," tulisnya.

Tags / Kata Kunci: Zulin Aziz , Suria FM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan