“Sakit Luar, Dalam...” - Kamal Adli - Berita Hiburan | mStar

“Sakit Luar, Dalam...” - Kamal Adli

Diterbitkan: Selasa, 9 Januari 2018 7:00 AM

Kamal berharap namanya tidak lagi terpalit dengan kontroversi pada tahun ini. Foto AZLINA ABDULLAH

(Ubah saiz teks)

PELAKON Kamal Adli berharap namanya tidak lagi menjadi perhatian hanya gara-gara terpalit dengan isu dan kontroversi seperti mana dilaluinya tahun lalu.

Kamal berkata, tahun 2017 banyak meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya namun pada masa sama mengajar dia menjadi seorang lelaki lebih matang.

“Harapan saya satu sahaja untuk tahun ini iaitu tak nak apa yang berlaku pada tahun lalu berulang lagi.

“Cukuplah! Tahun lepas teruk saya kena sampai rasa ‘sakit’ luar dan dalam.

“Biarlah 2018 saya fokus dengan kerja dan perniagaan yang saya usahakan dan bukannya kontroversi,” katanya kepada mStar Online.


Fad dan Kamal bergandingan sebagai hos Gegar Lawak.

Kamal ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu iaitu Gegar Komedi yang diadakan di Comedy Planet Kuala Lumpur pada Isnin.

Juara Super Spontan 2017 itu bakal bertindak sebagai hos bersama Fad Bocey dalam program itu yang bakal bermula pada 19 Januari ini.

Dalam pada itu, Kamal berkata, tahun ini dia ingin memfokuskan kepada karier lakonannya selain bidang perniagaan yang mula diceburi secara serius bersama rakan kongsinya.

Buat permulaan kata Kamal, dia bakal mengeluarkan minyak wangi selain beberapa produk kecantikan untuk lelaki dan wanita.

Kamal selesa bekerja dengan Fad.

"Alhamdulillah tawaran berlakon pun memang banyak dan jadual pun sudah mula penuh untuk tahun ini.

"Selebihnya saya ingin fokus kepada bidang perniagaan pula sebagai satu cabang baru dalam karier seni saya," katanya.

Bercakap mengenai penglibatannya sebagai hos Gegar Lawak, Kamal berkata, dia menerima tawaran tersebut kerana memang minat mengacara dan menanggap peluang diberikan sebagai peluang tidak patut dilepaskan.

Malah Kamal berkata, bergandingan dengan Fad juga satu kelebihan kerana mereka sebelum ini pernah beberapa kali bekerjasama.

Gegar Lawak akan mula bersiaran setiap Jumaat, 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (134).

Tags / Kata Kunci: Kamal Adli , Gegar Lawak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan