Solat Hajat, Istiharah Dulu - Putra Amaris

Diterbitkan: Isnin, 8 Januari 2018 6:15 AM

Amaris selamat bergelar suami kepada Nur Syazwani.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Putra Amaris mendedahkan dia melakukan solat istiharah dan hajat selepas kali pertama bertemu dengan isterinya Nur Syazwani Alias setahun lalu.

Amaris atau nama sebenarnya, Amran Ismail, 32, berkata, dia tidak mengambil masa yang lama dalam membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan wanita itu selepas mendapat persetujuan daripada keluarga.

"Jantung saya berdebar-debar dan hanya mampu mengucapkan Allahuakbar ketika kali pertama bertemu dengan dia setahun lalu ketika datang beraya di rumahnya. Ia bagaikan jatuh cinta pandang pertama dengan dia.

"Ketika itu saya jadi sangat malu dan balik sahaja dari rumahnya saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Saya buat solat Istiharah dan hajat tentang perkara itu. Alhamdulillah, selepas berbincang dengan keluarga saya terus hantar rombongan meminang," ujarnya kepada mStar Online.

Amaris bertunang pada 13 Ogos 2017.

Majlis akad nikah berlangsung di kediaman wanita di Batu Pahat, Johor.

Amaris selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya Nur Syazwani Alias, 28, pada petang Jumaat lalu di kediaman keluarga wanita itu di Batu Pahat, Johor.

Pelakon itu menyerahkan mas kahwin RM22.50 beserta 11 dulang hantaran kepada pihak perempuan.

Sementara itu, Amaris turut meminta maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan selebriti dan teman media atas permintaan keluarga isterinya.

Katanya, dia juga merancang untuk mengadakan sebuah majlis persandingan bagi pihaknya dan menjemput rakan-rakan industri.

"Majlis perkahwinan kami buat kecil-kecilan sahaja untuk rakan-rakan terdekat dan keluarga. Bukan niat untuk sembunyi tetapi disebabkan pihak perempuan selesa ia dilakukan secara privasi.

"Saya harap semua doakan yang baik-baik tehadap perkahwinan yang kami bina ini sehingga ke akhir hayat," ujarnya.

Rancang tunai umrah bersama isteri.

Amaris bersyukur isterinya yang juga bekas guru agama sebuah sekolah itu memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Katanya, dia juga pernah membawa wanita istimewa itu ke majlis hiburan bagi memberi pendedahan awal tentang dunia seni.

"Saya pernah bawa dia ke Anugerah Skrin tahun lalu dan ketika itu kawan-kawan rapat tahu hubungan kami. Saya sendiri faham bagaimana kerjaya anak seni," ujarnya.

Dalam pada itu, Amaris berkata, dia juga merancang untuk menunaikan ibadah umrah dalam masa terdekat bersama isterinya.

Tags / Kata Kunci: Amaris , Amran Ismail

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan