Pelik... Tak Suka Tetap Nak Tengok - Sajat

Diterbitkan: Jumaat, 5 Januari 2018 6:30 AM

Saya tak kisah kecaman dan jumlah dislike yang diterima di Youtube. Foto: SHAARI CHEMAT / The Star

(Ubah saiz teks)

USAHAWAN yang kini bergelar penyanyi, Nur Sajat berkata dia tidak terkesan dengan jumlah 'dislike' (tanda tidak suka) yang diterimanya di YouTube menerusi muzik video terbaharu lagu Abang Nak Tegur 3.0.

Sajat berkata, dia tidak ambil pusing tentang hal tersebut kerana berasakan jumlah tontonan lebih penting berbanding like atau dislike.

"Sejujurnya, saya tak risau tentang hal itu kerana kita tak boleh nak paksa orang suka lagu kita. Apa yang penting jumlah tontonan tinggi.

"Pelik, walaupun orang tak suka saya, tapi mereka tetap nak tengok apa saya buat!," katanya kepada mStar Online.

Aliff Syukri bersama isteri, Shahida dan Sajat bergandingan dalam lagu Abang Nak Tegur 3.0.

Video lirik lagu tersebut menerima lebih 350,000 dislike di laman YouTube sejak dimuat naik pada November tahun lalu.

Manakala, untuk muzik video Abang Nak Tegur 3.0 yang menggabungkan Datuk Aliff Syukri dan isteri, Datin Shahidah bersama Sajat menerima lebih 70,000 dislike dan trending nombor satu di laman tersebut sejak dimuat naik pada Selasa.

Sementara itu, Sajat berkata dia mengabaikan sahaja komen-komen negatif yang dilemparkan netizen kepadanya.

Muzik video yang dimuat naik pada Selasa trending di Youtube dan menerima 70,000 dislike.

Tambahnya, dia hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberi sebaik-baiknya.

"Setelah dipelawa Datuk Aliff dan KRU untuk menyanyi lagu ini, saya cuba-cuba sahajalah. Saya bukan nak serius sangat dalam bidang ini.

"Saya hanya buat kerja dan selebihnya ditentukan oleh pendengar dan penonton di luar sana. Komen-komen negatif, abaikan sahaja.

Muzik video arahan Yusry Abdul Halim menjalani penggambaran di Sepanyol.

"Saya sudah buat yang terbaik dan apa yang ditunjuk itu adalah hasil sepanjang penggambaran kami di Sepanyol," ujarnya.

Rata-rata penonton berasakan video terbaharu itu bakal menerima jumlah dislike yang tinggi sama seperti video lirik.

"Selesai dislike. Biarpun ada isteri Datuk Alif, tapi sebab Sajat ada, aku dislike juga!," tulis Khalil Abdullah.

"Ada Sajat, tetap dislike! Maaf, letaklah isteri Aliff sekali pun. Ada Sajat, aku tak akan like," komen Susah Senang pula.

Tags / Kata Kunci: Sajat , Datuk Aliff Syukri , Abang Nak Tegur

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan