Jue Aziz Rasa Tertipu - Berita Hiburan | mStar

Jue Aziz Rasa Tertipu

Diterbitkan: Rabu, 3 Januari 2018 7:10 AM

Jue Aziz digugurkan sebagai duta sebuah produk tanpa sebarang sebab.

(Ubah saiz teks)

PELAKON Jue Aziz terkilan apabila wajahnya masih digunakan oleh sebuah produk kecantikan walaupun dia kini tidak lagi bertindak sebagai duta produk itu.

Malah kata Jue atau Zuliana Abdul Aziz, 34, kontraknya juga ditamatkan tanpa sebab munasabah walaupun sudah menjalankan tugas sebagai duta dengan baik.

"Tanpa menjelaskan sebab yang jelas kontrak saya ditamatkan begitu sahaja dan ia membuatkan saya berasa benar-benar tertipu.

"Tetapi yang peliknya pihak tersebut masih menggunakan wajah saya pada produk mereka dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Ia seolah-olah mengambil kesempatan terhadap saya yang turut boleh mengelirukan pembeli," katanya.

Dalam pada itu, Jue berkata, sepanjang setahun lalu dia kurang berlakon disebabkan menumpukan perhatian terhadap promosi produk tersebut sehingga ada yang menyangka dia sudah tidak berminat untuk berlakon.

Jue Aziz.

"Ramai yang ingat saya dah tak nak berlakon tetapi hakikatnya saya tumpukan sepenuh perhatian terhadap produk itu tetapi akhirnya apa yang saya dapat?

"Tetapi tidak mengapa, ini mungkin dugaan buat saya walaupun pada awalnya sukar untuk saya terima," katanya.

Sementara itu, Jue berkata, walaupun serik dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab namun dia sedar apa yang berlaku itu sebagai satu proses pembelajaran.

Malah kata Jue, kejadian itu juga banyak memberinya pengajaran dan ilmu dalam memahami lebih baik soal hak sebagai artis yang mewakili sesuatu produk.

"Serik bekerjasama dengan jenama berkenaan? Ya! Ini pengajaran buat saya agar lebih berhati-hati dan lebih peka terhadap hak kita sebagai orang yang dilantik sebagai duta sesuatu produk.

"Pada saya ini adalah asam garam yang perlu saya tempuh dan tidak terlalu mudah mempercayakan orang lain tanpa selidik terlebih dahulu," katanya.

Tags / Kata Kunci: Jue Aziz

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan