Nora Danish Sudah Buat Persiapan - Berita Hiburan | mStar

Nora Danish Sudah Buat Persiapan

Diterbitkan: Ahad, 31 Disember 2017 6:20 AM

Nora dan suami sudah membuat persiapan menyambut kelahiran bayi mereka. Foto: LOW BOON TAT.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish mengakui teruja dan menghitung hari untuk menunggu kelahiran anak keduanya yang dijangka pada 9 Mac depan.

Nora, 36, berkata, pada usia kandungan yang sudah memasuki tujuh bulan itu, dia sudah membuat persiapan barang kelengkapan bayi, namun secara berpada-pada.

"Saya dan Nedim sangat tidak sabar dan menghitung hari menunggu kelahirannya.

"Persiapan untuk bayi sudah dibuat cuma tidak mahu sampai membazir, secara berpada-pada sahaja," ujarnya kepada mStar Online.


Nora dan suami, Nedim tidak sabar menantikan kelahiran bayi mereka.

Nora berkata, dia dijangka melahirkan bayi tersebut secara pembedahan atas faktor keadaan bayi yang besar.

Bagaimanapun, katanya, doktor masih memberi pilihan jika dia mahu melahirkan bayi berkenaan secara normal.

"Doktor kata bayi ini besar berbanding anak pertama saya. Saya mungkin sukar untuk melahirkan secara normal.

"Tapi doktor masih beri pilihan jika saya mahu melakukannya secara normal," ujarnya.

Nora belum bersedia kongsi jantina bayinya.

Nora berkata, dia melalui fasa yang bahagia di samping mendapat kasih sayang suami yang sentiasa berada di sisi.

Katanya juga Nedim turut menawarkan diri untuk menjaga bayi tersebut jika dia mula kembali aktif menjalani penggambaran.

Sementara itu, Nora berkata, dia belum mahu berkongsi jantina anak yang bakal dilahirkan kepada umum.

Katanya, ia adalah kejutan yang akan diberitahu selepas bayi tersebut selamat dilahirkan.

"Saya nak rahsia dahulu, nak beri kejutan kepada peminat. Semua ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sudah tahu.

"Insya-Allah nanti kami umumkan bila tiba masanya. Nama anak juga sudah ada beberapa yang sesuai dan sedang difikirkan," ujarnya.

Nora berkahwin dengan Nedim Nazri pada 30 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup.

Tags / Kata Kunci: Nora Danish
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan