“Badan Lemah, Rasa Nak Tumbang” – DJ Lin - Berita Hiburan | mStar

“Badan Lemah, Rasa Nak Tumbang” – DJ Lin

Diterbitkan: Jumaat, 22 Disember 2017 6:30 AM

DJ Lin mengalami sakit kepala yang teruk sehingga ditahan wad pada Selasa lalu. Foto Instagram: @djlinsuriacinta.

(Ubah saiz teks)

PENYAMPAI radio Suria FM, DJ Lin mengakui terlalu memaksa dirinya untuk bekerja sehingga menyebabkan dia terpaksa berehat di hospital.

Pengurus Program Suria FM, DJ Lin atau Roslinda Abd Majid, 40, berkata dia mengalami sakit kepala yang teruk sejak Sabtu lalu ketika berada di Kedah untuk Konsert Ulang Tahun Suria ke-10.

"Sebenarnya saya mula rasa sakit kepala pada sabtu lalu ketika membuat latihan sebelum berlangsung konsert Suria di Kedah.

"Dari pagi sampai ke malam, sakit kepala tak hilang. Mungkin sebab cuaca yang panas. Tambahan pula, dua minggu sebelum konsert berlangsung saya kerja tidak berhenti.

Doktor menasihati DJ Lin untuk berehat lama di hospital.

"Siang berlatih menari bersama Cik Manggis di studio dia dan malam sambung lagi latihan di konti pula," kata DJ Lin ketika dihubungi mStar Online.

DJ Lin ada memuat naik foto dia yang sedang terlantar sakit di hospital Tawakal, Kuala Lumpur menerusi laman Instagramnya.

Menurut pengendali segmen Suria Cinta ini, dia terlalu teruja untuk bertemu dan menghiburkan peminat di konsert tersebut tanpa menghiraukan kesihatannya.

Bagaimanapun, DJ Lin akhirnya 'tewas' apabila dia berasa sangat lemah dan tidak mampu untuk memandu ke pejabat untuk menyelesaikan kerja.

"Masa konsert tu saya dah rasa badan lemah nak tumbang tapi gagahkan diri juga sebab nak hiburkan peminat yang hadir. Konsert ini terlalu bermakna dan paling bersejarah.

DJ Lin ditemani anak lelakinya, Nazren Asyran.

"Balik dari Kedah, beberapa kali pergi klinik tapi tetap juga sakit kepala. Namun saya tetap juga nak pergi pejabat sebab nak buat penilaian akhir tahun penyampai radio.

"Tapi bila nak memandu kereta tu saya rasa badan dah lemah sangat, terus pergi klinik dan doktor minta saya ke hospital pakar untuk rawatan selanjutnya," ujarnya.

DJ Lin dimasukkan ke wad pada Selasa lalu selepas doktor menasihatinya untuk berehat lama di hospital.

Kata DJ Lin lagi, kemungkinan dia akan keluar wad pada hujung minggu ini dan terus mula bekerja untuk tahun baru.

"Doktor dan jururawat di sini nasihatkan saya untuk berehat lama di hospital. Tak boleh buat kerja supaya badan kembali bertenaga semula.

"Insya-Allah mungkin hari Sabtu atau Ahad ini baru saya akan keluar wad. Nak rehat secukupnya sebelum mula kerja keras untuk tahun 2018," katanya.

Tags / Kata Kunci: DJ Lin , Suria FM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan