Daler Yusuf Solat Sunat Jadi Tular - Berita Hiburan | mStar

Daler Yusuf Solat Sunat Jadi Tular

Diterbitkan: Rabu, 20 Disember 2017 3:29 PM

Netizen membuat tekaan pelakon utama yang dimaksudkan PU Rahmat itu adalah Daler.

(Ubah saiz teks)

NAMA pelakon Daler Yusuf menjadi bualan hangat di laman sosial semenjak foto seorang pelakon lelaki sedang mengerjakan solat sunat di sebuah masjid menjadi tular.

Foto yang dimuat naik oleh Pencetus Ummah (PU) Rahmat di laman Instagramnya pada Selasa mendapat perhatian netizen.

Menerusi kapsyen foto itu, Rahmat merahsiakan identiti pelakon utama yang sedang melakukan solat sunat tahiyatul masjid sebelum memulakan penggambaran.

"Pelakon utama ini solat sunat tahiyatul masjid terlebih dahulu sebelum memulakan panggambaran.

"Artis juga tahu adab masjid. Alhamdulillah. Nama dirahsiakan," tulis Rahmat.

Menguatkan lagi andaian netizen apabila mereka sempat melihat Instastory Daler yang memakai baju hijau seperti dalam foto tersebut.

Foto lelaki berbaju hijau yang dipercayai adalah Daler mendapat perhatian netizen.

Malah, difahamkan Rahmat turut terlibat sama menjalani penggambaran drama, Nota Buat Cempaka yang juga dibintangi Daler.

"Betul la Daler Yusuf tu. Tengok IG story dia. Sama baju hijau dalam masjid. Yeayyyy berjaya merungkai misteri PU Rahmat.

"Betul lah Daler Yusuf! Tadi dah nampak dekat Insta Story dia," komen beberapa netizen.

Daler atau nama sebenarnya Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 26, sememangnya kini sedang dalam penggambaran drama tersebut bersama pelakon Eyka Farhana.

Pemuda yang berasal dari Uzbekistan ini memegang watak sebagai Dr. Luqman Harith yang juga teraju utama bagi drama tersebut.

Malah, ada juga berpendapat apa yang dilakukan Daler ini wajar dicontohi kerana dalam kesibukannya bekerja, perkara sunat tidak dilupakannya.

"Semoga industri seni Malaysia disenikan lagi dgn artis seperti ini. Amin," tulis pemilik akaun bernama wafi_cazorla.

Tags / Kata Kunci: Daler Yusuf , PU Rahmat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan