Jangan Cari Pasal Kata Zizan - Berita Hiburan | mStar

Jangan Cari Pasal Kata Zizan

Diterbitkan: Selasa, 19 Disember 2017 6:15 AM

Zizan Razak sentiasa menjaga disiplin dan reputasi sebagai pelakon. Foto RAJA FAISAL HISHAN

(Ubah saiz teks)

PELAKON dan pelawak Zizan Razak memberitahu tempoh 10 tahun bergelar anak seni banyak mengajarnya lebih bijak membawa diri sebagai seorang selebriti dikenali ramai.

Tidak mempunyai sebarang strategi tertentu untuk terus diterima baik peminat, Zizan, 33, bagaimanapun berkata, dia sentiasa menjaga reputasi dan disiplin kerja agar tidak tercalar dengan isu atau pun kontroversi.

"Pada saya mudah sahaja untuk nama tidak dikaitkan dengan kontroversi iaitu jangan cari pasal!

"Sebagai contoh kata tidak bercinta tetapi keluar bersama atau memuat naik gambar bersama di Instagram.

Zizan menang Anugerah Instafamous 2017.

"Dalam bahasa mudahnya 'jangan meminta!' Kalau benar hendak bercinta sangat soroklah perhubungan itu," katanya.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia juga sentiasa mengingatkan diri agar tidak mudah lupa diri selain tidak bersikap angkuh dengan setiap kejayaan dikecapinya.

"Alhamdulillah saya sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa merendah diri kerana sikap sombong itu sebenarnya merugikan diri sendiri.

"Saya juga banyak belajar daripada orang lain yang saya lihat kebanyakannya tidak kekal lama kalau menyombong dan meninggi diri.

Zizan kini sibuk di lokasi penggambaran filem Polis Evo 2. 

"Bukan dalam dunia seni sahaja tetapi bidang lain juga dan ia benar-benar buka mata saya," ujarnya.

Sementara itu, kedatangan tahun 2018 tidak lama lagi, Zizan berazam untuk meningkatkan kualiti kerjanya sebagai pelakon selain ingin mencabar diri dalam perkara yang belum pernah dilakukannya.

"Saya tidak sasar untuk menang anugerah tetapi lebih kepada jaga kualiti kerja dan bekerja keras lagi kerana harapan peminat sangat tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia masih dalam proses penggambaran filem Polis Evo 2 selain akan berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk berbincang mengenai projek terbaharunya di negara itu.

Tags / Kata Kunci: Zizan Razak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan