Artis Wanita Antara Mangsa Aktor Kasanova

Diterbitkan: Sabtu, 16 Disember 2017 6:15 AM

Seorang pelakon lelaki menggunakan kelebihan pada wajah kacak dan badan 'sadonya' untuk memikat wanita sebelum memperdayakan mereka. Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bersandarkan kepada kelebihan berwajah tampan serta susuk tubuh sasa, seorang pelakon lelaki menggunakan kelebihan itu untuk memperdayakan orang ramai termasuk artis wanita.

Kasanova berusia 30-an ini menjadikan wanita cantik dan pelakon-pelakon baharu termasuklah individu yang dilanda masalah cinta untuk didekati sebelum dia mula menabur janji-janji manis.

Modus operandi pelakon ini hanyalah untuk mendapatkan wang daripada wanita yang berjaya masuk dalam perangkapnya selepas mereka terpedaya akan cinta palsunya itu.

Seorang pelakon wanita yang nyaris terkena perangkap kasanova ini memberitahu, dia hampir-hampir termakan kata-kata pemuda tersebut yang ingin mengajaknya kahwin.

Malah pemuda itu berjaya meyakinkan keluarganya akan kesungguhan dia untuk berumah tangga sehingga menyebabkan aktres berkenaan berasa pelik.

“Saya rasa pelik. Kenal baru sekejap dah nak ajak kahwin? Siap jumpa keluarga. Tapi saya bernasib baik kerana terbuka hati untuk menyiasat kedudukan lelaki ini sehinggalah saya dapat tahu sudah ramai orang ditipunya,” ujar pelakon tersebut yang enggan mendedahkan identitinya.

Selain berbekalkan paras rupa, pelakon ini turut menggunakan taktik dengan bergaya bersama kereta mewah namun kenderaan itu bukan miliknya.

Malah perkongsian gambarnya di laman sosial juga seolah-olah memperlihatkan dia seorang hartawan.

Selain artis wanita baharu, golongan lelaki lembut juga antara sasarannya untuk mendapatkan wang ringgit.

Pemuda ini juga dipercayai turut menggunakan wartawan hiburan bagi mendapatkan publisiti dengan berkongsi kenyataan palsu mengenai kerjayanya.

Artikel yang diterbitkan itu kononnnya boleh dijadikan modal untuk dia meyakinkan pihak-pihak tertentu bagi meneruskan aktiviti penipuan.

Sementara itu seorang pengarah drama berkata, dia mengenali pelakon ini selepas diperkenalkan seseorang yang mencadangkan agar diberinya peluang untuk berlakon.

Katanya, semasa sesi uji bakat dilakukan, kasanova yang mendakwa berpengalaman di peringkat antarabangsa ini gagal menunjukkan kebolehannya.

“Dia kata ada pengalaman berlakon dengan produksi luar, tapi bila saya suruh baca skrip satu muka surat pun ambil masa sampai tiga jam. Dari situ saya mulai curiga dengan pelakon ini,” ujar pengarah tersebut.

Kata pengarah ini lagi, kasanova itu juga cuba mendekati pelakon bawah arahannya namun dia sempat mengingatkan artis itu agar tidak terpedaya dan berhati-hati.

Dalam pada itu hasil semakan mStar Online mendapati, pelakon ini yang memilki kad keahlian Pesatuan Seniman Malaysia (Seniman) ini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dan peras ugut.

Antara laporan polis dibuat terhadapnya termasuk di Puchong, Serdang, Taman Melawati dan Tanjung Rambutan.

Tags / Kata Kunci: Kasanova

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan