Bercinta Dengan Model Antarabangsa Bukan Rekaan Pekin - Berita Hiburan | mStar

Bercinta Dengan Model Antarabangsa Bukan Rekaan Pekin

Diterbitkan: Jumaat, 8 Disember 2017 1:14 PM

Pekin masih menjalinkan hubungan dengan model antarabangsa yang dikenali sebagai Iman. Foto: SADIQ SANI

(Ubah saiz teks)

PELAKON Pekin Ibrahim menyangkal dakwaan kononnya kisah cinta dia dengan model dan pelukis antarabangsa sebelum ini hanyalah rekaan semata-mata.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 36, berkata dia tidak menipu tentang perkara tersebut dan masih menjalinkan hubungan dengan wanita yang mahu dikenali sebagai Iman itu.

"Saya tak berbohong mengenai hubungan dengan wanita tersebut dan kami masih lagi bersama.

"Hubungan kami berjalan seperti biasa dan tak ada masalah, itu sahaja yang boleh saya kongsikan buat masa ini," katanya kepada mStar Online.

Pekin mahu fokus dengan filem KL Wangan sebelum fikirkan tentang perkahwinan. Foto IG: KLWangan

Pekin ditemui ketika tayangan perdana filem KL Wangan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur pada Khamis.

Terdahulu, mStar Online bertarikh 29 Julai 2016 melaporkan Pekin mengakui sedang melalui fasa bahagia dengan wanita yang kini menetap di London itu.

Pekin Ibrahim Sahkan Bercinta Dengan Model Antarabangsa

Sementara itu, Pekin memaklumkan dia sedang bekerja keras dan mengumpul lebih banyak aset sebelum menamatkan zaman bujang.

"Nak kahwin kena kumpul duit, dah stabil nanti baru boleh fikir fasal rumah tangga.

Pekin tidak menerima tekanan untuk berkahwin.

"Lagi pula saya sibuk dengan projek filem KL Wangan dan lebih baik saya fokus dengan kerja terlebih dahulu dan bila dah betul-betul bersedia baru boleh berkahwin.

"Semua orang ada keinginan untuk berkahwin dan apabila tiba waktu yang sesuai barulah fikir tentang mendirikan rumah tangga," katanya.

Bercakap mengenai filem lakonan dan arahannya itu, Pekin berkata dia tertarik dengan karya membabitkan dunia permotoran.

Malah, dia yakin filem bergenre sedemikian masih mendapat tempat dihati peminat.

Barisan pelakon filem KL Wangan.

"Saya tahu ramai yang minat cerita begini dan kerana itu saya yakin ia bakal menerima sambutan penonton.

"Banyak benda yang saya belajar tentang filem ini, memerlukan ketelitian dan mengambil masa penggambaran yang lama hingga tiga bulan untuk shooting sahaja," ujarnya.

Filem terbitan Centro Picture yang menelan belanja hampir RM5 juta ini turut menampilkan pelakon hebat antaranya Faizal Hussein, Emily Lim, Kazuto San dan Pekin sendiri.

Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Disember ini.

Tags / Kata Kunci: Pekin Ibrahim , KL Wangan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan