"Selebriti Perlu Aktif Media Sosial, Bantu Promosi" Aeril Zafrel - Berita Hiburan | mStar

"Selebriti Perlu Aktif Media Sosial, Bantu Promosi" Aeril Zafrel

Diterbitkan: Jumaat, 8 Disember 2017 6:10 AM

(Ubah saiz teks)

PELAKON Aeril Zafrel berpendapat setiap selebriti perlu aktif dalam mengemaskini perkembangan terbaharu berkaitan kerjaya di sosial media mereka.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 29, berkata ia bertujuan membantu pihak produksi dan stesen TV untuk mempromosikan karya lakonan mereka.

"Bagi saya, memang penting untuk selebriti aktif di laman sosial dapat membantu produksi serta stesen TV untuk mempromosikan karya mereka.

"Lebih banyak pengikut, lebih ramai yang tahu apa kita buat. Tapi terpulang pada individu itu juga," kata Aeril kepada mStar Online.


Aeril sentiasa mengemas kini aktiviti hariannya di laman sosial.

Suami kepada pelakon Wawa Zainal ini sememangnya dilihat sentiasa mengemas kini aktiviti seni serta kehidupan seharian keluarganya di laman sosial.

Aeril ditemui ketika pra-tonton dan sidang media drama bersiri Mandatori di GSC, Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Aeril lagi, bukan hanya perlu melakukan perkara tersebut namun bakat juga perlu bergerak seiringan.

Aeril perlu mengawal pergerakan dan lakonannya dalam drama terbarunya supaya tidak dilihat berlebihan.

"Tapi janganlah sampai lebihkan sosial media. Saya takut masa akan datang, penonton tidak melihat pada kekurang lakonan seseorang itu.

"Sebab itu, bakat dan laman sosial kena bergerak seiringan. Sama-sama naik. Kalau kita terlampau fokus platform itu tapi bakat ke laut, susah juga," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aeril akui watak dalam drama terbarunya, Mandatori memberi satu cabaran yang besar buatnya.

"Saya rasa watak dalam drama ini antara cabaran yang paling besar. Kali pertama saya dapat watak menjadi polis. Bukan polis biasa tapi profiler jenayah.

"Seorang Inspektor yang menyiasat kes pembunuhan bersiri, saya perlu kawal pergerakan dan lakonan supaya tidak berlebihan.

"Tidak boleh menonjol sangat. Nak bagi orang percaya yang saya ini profiler," kata Aeril.

Drama yang diadaptasi karya Ramlee Awang Murshid ini akan menemui penonton mulai 14 Disember ini di saluran Astro First Eksklusif 480.

Selain Aeril, barisan pelakon terdiri daripada Siti Saleha, Iedil Putra, Alvin Wong, Amerul Affendi, Vanidah Imran, Chew Kin Wah dan Datuk A. Tamimi Siregar.

Tags / Kata Kunci: Aeril Zafrel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan